TERBARU
Home / Artikel - Makalah / CATATAN REHLAH KE CHINA 2011 (1)

CATATAN REHLAH KE CHINA 2011 (1)

Lawatan Kerja Ilmiah Ulama’ Madrasah Pondok Negeri Kelantan Ke Negara China.

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, Abu Anas telah dapat menjejakkan kaki ke negara China yang bersejarah. Rombongan kami seramai 26 orang, diketuai oleh YB Dato’ Mohd Ammar Hj Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan & Dakwah Negeri Kelantan. Urusetia lawatan: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK); YABrs Dato’ Pengarah dan al-Fadhil Ustaz Saibon serta sdra Muhammad Izani Yaacob, staff Ain Medicare. Rombongan ini disertai oleh wakil 12 buah Pondok Kelantan, juga wakil dari MAIK, KIAS dan YIK. Bermula pada hari Sabtu 2/4/2011, sehingga hari Isnin, 11/4/2011.

Tujuan lawatan ini ialah untuk memperkenalkan kepada Sahibul Fadhilah Tuan-tuan guru dan para pendakwah tentang kehidupan masyarakat Islam di China dan bagaimana mereka menguruskan masjid-masjid, pusat-pusat pengajian Islam, perubatan, makanan halal dan mentadbir ekonomi dalam sebuah negara yang dikuasai oleh bukan Islam.

Ia juga untuk membuka minda kita bahawa terdapat begitu ramai saudara muslim kita di sana, kerana apabila menyebut Cina apa yang terbayang hanyalah orang bukan Islam, sedangkan Islam telah sampai kepada mereka terlebih dahulu daripada kita.

Majoriti masyarakat Islam di China berpegang dengan mazhab Hanafi, ada segelintir pula yang mengikut mazhab lain seperti Hanbali. Perbezaan mazhab Fiqh ini tidak memecahkan kesatuan umat Islam di sana.

Kita juga sering mendengar kata-kata:

” اطلبوا العلم ولو بالصين “

Tuntutlah ilmu walau ke negeri China”. Ia sering diwarwarkan sebagai hadis Nabi SAW, namun ramai ulama’ hadis yang tidak menerimanya sebagai hadis yang sahih.

Kata Al-‘Iraqi dalam takhrij ‘Ihya’ Ulumuddin’, hadis ini dikeluarkan oleh Ibnu Adi dan Baihaki dalam kitabnya al-Madkhal wa Sya’bu al-Iman, dari Anas. Kata al-Baihaki: “Matannya sangat masyhur, tetapi sanadnya dhaif.”.

Tempat-tempat yang dilawati ialah: Bandaraya Beijing, Lanzhou, Linxia  dan Xining.

Maklumat tempat-tempat yang dilawati:

Beijing (bahasa Cina: 北京; pinyin: Běijīng). Wade-Giles: Peiching atau Pei-ching; maksudnya “ibu kota utara”, dahulunya dipanggil Peking, ialah metropolis di China utara serta juga ibu negara Republik Rakyat China. Ia sebuah bandaraya dan pusat pemerintahan. Beijing bersempadan dengan Wilayah Hebei di utara, barat, selatan, dan sebahagian kecil di timur, serta juga Wilayah Perbandaran Tianjin di tenggara. Ia merupakan salah satu daripada Empat Ibu Kota Kuno Agung China.

Beijing ialah bandar raya yang kedua terbesar di China, selepas Shanghai, dengan melebihi 17 juta penduduk di dalam kawasan bidang kuasa Beijing. Beijing merupakan satu pusat pengangkutan yang utama, dengan berpuluh-puluh landasan kereta api, jalan raya, dan lebuh raya yang merentasi bandar raya ini.

Ia telah diiktiraf sebagai sebuah pusat politik, pendidikan, dan budaya Republik Rakyat China, manakala Shanghai dan Hong Kong menguasai bidang ekonomi. Beijing terkenal kerana istananya yang mewah, serta juga kuil, tembok batu, dan gapuranya. Banyak bangunan utama di Beijing, tidak kira usianya, memiliki sekurang-kurangnya sedikit kepentingan sejarah negara. Persatuan seni dan universiti-universitinya telah lama menjadikannya sebagai sebuah pusat budaya dan seni di China. Pada 2008, Beijing mengacarakan Sukan Olimpik. Depan Stadium Olimpik, Beijing

Tidak terdapat banyak bandar raya di dunia, selain daripada Beijing, yang telah bertindak sebagai pusat politik dan budaya kepada sebuah kawasan sebesar China buat begitu lama. Encyclopædia Britannica menyifatkannya sebagai “salah satu bandar raya yang terunggul di dunia”, dan mengisytiharkannya sebagai satu bandar raya yang merupakan sebahagian sejarah China yang penting buat berabad-abad.  http://ms.wikipedia.org/wiki/Beijing

Wilayah Gansu [قانسو] :

Gānsù ialah sebuah wilayah yang terletak di barat laut Republik Rakyat China. Kedudukan wilayah ini adalah di antara Qinghai, Mongolia Dalam dan Penara Huangtu. Ia bersempadan dengan negara Mongolia di utara dan Xinjiang di barat. Sungai Huang He melintasi bahagian selatan wilayah ini. Gansu mempunyai kira-kira 25 juta penduduk (pada tahun 1997), termasuk sekelompok besar Orang Cina Hui (Islam).

Ibu wilayah ialah: Lanzhou [لانجو] yang terletak di bahagian tenggara Gansu.

Gansu disingkatkan sebagai Gan atau Long (Cina Tradisional: 隴, Cina Ringkas: 陇), dan juga dikenali sebagai Barat Long atau Kanan Long, sempena Gunung Long di timur Gansu.

Linxia [لينشيا]: sebuah bandar kecil yang terletak di pinggir wilayah Gansu dan terletak sejauh 150 km dari bandar Langzhou, ibu negeri Gansu.   http://ms.wikipedia.org/wiki/Gansu

Qinghai: ialah sebuah wilayah Republik Rakyat China, yang dinamakan bersempena Tasik Qinghai yang besar. Qinghai bersempadan dengan Gansu di timur laut, Kawasan Autonomi Xinjiang di barat laut, Sichuan di tenggara, dan Kawasan Autonomi Tibet di barat daya.

Qinghai merupakan sebuah wilayah yang agak baru di China. Kawasan ini menjadi tempat pertembungan pelbagai etnik yang mencampur aduk pengaruh kebudayaan Han (Cina), Mongolia, Tibet, dan Turkik. Qinghai dijadikan medan pertempuran ketika dinasti Tang dan dinasti-dinasti China seterusnya apabila menentang kerajaan Tibet.

Pada tahun 1928, Qinghai dijadikan sebuah wilayah Republik China. Seterusnya, Qinghai menjadi markas utama untuk pejuang/panglima tentera bernama Ma Bufang, sebelum menjadi wilayah di bawah pentadbiran Republik Rakyat China pada tahun 1949.

Xining [شينينج] ibu wilayah Qinghai.

Bandaraya Xining sendiri mempunyai tempat yang begitu penting, termasuk Masjid Besar Xining (清真大寺, pinyin: qīngzhēn dà sì).

Tasik Qinghai (青海湖, qīnghǎi hú) adalah sebuah tarikan pelancong yang terletak lebih jauh dari Xining berbanding Kumbum. Tasik ini adalah tasik air masin terbesar di China, dan juga terletak di “Bumbung Dunia,” iaitu Penara Qinghai-Tibet. Tasik ini terletak pada ketinggian 3,600m dari paras laut. Kawasan sekelilingnya terdiri daripada padang rumput beralun dan diduduki oleh etnik Tibet. Kebanyakan rombongan yang datang berhenti di Pulau Burung (鸟岛, niǎo dǎo). Setiap tahun, diadakan pertandingan lumba basikal antarabangsa dari Xining hingga Tasik Qinghai.  http://ms.wikipedia.org/wiki/Qinghai

Terdapat beberapa lagi kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam seperti Ningxia, Xinjiang, Hunan, Shandong, Kunming, Canton, Sanya dan sebagainya.

Beberapa suku etnik yang menganut Islam, yang terbesarnya ialah etnik Hui, Uighur, Kazak, Khalkha, Uzbek, Tajik, Tatar, Salar, Dongxiang dan Bao’an. Etnik Hui merupakan hasil dari perkahwinan orang Arab dan Parsi dengan orang Cina.

Mengikut perangkaan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan China, penduduk Islam kini berjumlah 30 juta orang. Ada juga yang mengatakan sudah mencapai 70 juta. Tetapi mengikut sumber tidak rasmi, angka sebenar penduduk Islam di China sudah mencecah kepada 130 juta orang, berdasarkan kepada keluasan negara itu!!!

Bilangan masjid di China hari ini lebih kurang 42,000 buah masjid, setengahnya berusia lebih daripada seribu tahun. Di Beijing sahaja terdapat 62 buah masjid.   [Lihat Ann Wan Seng, Mencari Islam di China: Ms 23, 64 dan 68].

ISLAM DI CHINA

Islam mempunyai pusaka yang kaya di China. Agama itu telah wujud di China sejak Dinasti Tang. Islam pertama kali dibawa ke China oleh sebuah rombongan yang dikirimkan oleh, Khalifah Usman bin Affan ra pada tahun 650M, lebih kurang  dua puluh tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad saw.

Seorang sahabat, Sa`ad ibn Abi Waqqas ra, telah diutuskan sebagai seorang perwakilan rasmi kepada Maharaja Gaozong.  Maharaja itu menyamakan antara agama Islam dengan ajaran Confucius dan memerintah pembinaan masjid pertama di China iaitu sebuah masjid peringatan di Canton.

Zaman Dinasti Tang adalah zaman keemasan China dengan budaya kosmopolitan yang membantu memperkenalkan agama Islam.

Permastautinan orang Islam pertama di China terdiri daripada saudagar Arab dan Parsi. Di kawasan tersebut, kabilah Hui Chi menerima Islam, dan nama tersebut menjadi permulaan kepada rujukan terhadap Huihui atau Hui sebagaimana mereka dikenali hari ini.

MAKANAN HALAL DI CHINA

Terdapat sebuah pakej makanan beku yang masyhur, bersijil Halal iaitu  (steamed cabbage buns) dari provinsi Jiangsu.

Oleh sebab bilangan penduduk Muslim di China besar, banyak restoran Cina menghidangkan makanan kepada umat Islam atau  kepada orang awam tetapi dijalankan oleh umat Islam. Di kebanyakan bandar raya utama di China, terdapat restoran kecil atau gerai makanan yang biasanya dijalankan oleh pendatang dari China Barat (contohnya, Orang Uyghur), yang menjual sup mi yang murah. Daging kambing dan biri-biri lebih biasa didapati di sana, berbanding dengan restoran Cina yang lain, disebabkan oleh kebiasaan daging ini dalam makanan China barat.  http://ms.wikipedia.org/wiki/Islam_di_China

bersambung…

 

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

x

Check Also

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)

Sepatah kata Abu Anas Madani: Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah ...