TERBARU
Home / Artikel - Makalah / Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M (3)

Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M (3)

Siri 3 -Selepas Haji:
Setelah selesai melakukan semua amalan haji, jemaah meneruskan aktiviti ibadat mereka bersolat di Masjid Haram, melakukan tawaf, umrah, mengikuti kuliah yang diatur oleh pihak Ash-Har dan selebihnya meronda kedai-kedai yang banyak di sekitar Masjid.
Zikir pagi petang dan Zikir selepas solat susunan Abu Anas dijadikan sebagai bacaan tetap jemaah sepanjang mengerjakan haji, nampaknya ramai jemaah yang telah meneruskan bacaan / zikir yang diambil dari Rasulullah saw dan sahabat itu.. Alhamdulillah, semoga ianya menjadi amalan sepanjang hayat.
Di Makkah kami sempat juga membawa para jemaah melawat ke beberapa tempat bersejarah seperti kaki Bukit Thaur, Jabal Nur, gua Hira’, Ja’ranah, Hudaibiah, Muzium Haramain, minum susu unta dan lain-lain tempat (ada jemaah yang pergi sebelum wukuf / ada yang selepasnya).
Bagi ma’alim (tempat bersejarah) sekitar Masjidil Haram jemaah dibawa berjalan kaki sahaja. Tempat yang dilawati adalah beberapa tapak tempat bersejarah yang penting. Ianya bertujuan untuk mengenali kawasan lama yang ada kaitan sejarah / sirah. Antaranya kawasan kediaman Rasulullah saw bersama Sayyidah Khadijah r.anha, tempat kelahiran Nabi saw, rumah Saidina Abu Bakar r.a (Lokasi tempat berlakunya peristiwa hijrah yang bersejarah), rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, Masjid Al-Rayah (yang dikenali dengan Masjid Kucing- tempat yang ada kaitan dengan sejarah pembukaan Kota Makkah tahun 8 Hijrah), Masjid Jin, Masjid Syajarah, Perkuburan Ma’la dan sebagainya untuk pengetahuan dan peringatan (tazkirah).
Beberapa peringatan diberikan kepada jemaah agar jangan sekali-kali terikut-ikut dengan perbuatan orang ramai yang menyapu atau menggosok tempat-tempat tersebut atau berdoa ke arahnya. Tujuan kita bersama-sama dalam ma’alim ini adalah untuk mengenali tempat dan mengetahui sejarah yang penting disebaliknya.
Untuk keterangan lanjut berkenaan tempat dan sejarah bumi Makkah sila dapatkan buku “Makkah Al-Mukarramah, Kelebihan dan Sejarah”, susunan Al-Faqir Abu Anas Madani.
Selasa: 17 Zulhijjah. Alhamdulillah pagi ni sempat berjaulah bersama Ust Abu Fatih al-Mubaraki dan Dr Haji Zek (Pakar Bedah HRPZ2) dengan kereta Akhi Abdul Rahman al-‘Amudi (Sahabat lama yang menjadi guide rombongan Haji Ekslusif Ash-Har) ke beberapa tempat bersejarah, lama dan baru, antaranya: Tempat jualan air Zamzam di Kudai yang baru dibuka sebulan lalu, cantik dan tersusun, harga SR5 untuk 10 liter. Ke Jabal Thaur, King Abdullah Medical City (Hospital pakar yang baru setahun dibuka), Masjid Namirah di Arafah (bahagian depan di luar Arafah, sebelah akhir dalam Arafah), Maqbarah (Perkuburan lama) Quraish di Arafah, Al-Mughammas (tempat Abrahah binasa -menurut satu riwayat, yang masyhurnya Abrahah binasa di Wadi al-Muhassir) dan perkuburan Syara’ie (tempat jemaah haji dikebumikan). Akhirnya berhenti makan Madhghut Hasyi (nasi minyak lauk anak unta) di Aziziah dan solat Zohor di Masjid Sheikh Abdul Aziz Bin Baz rhm. Tunggulah laporan bergambar dalam Majalah Solusi, ruangan Haramain tulisan Ustaz Ahmad Husni… dan insya’Allah akan dimasukkan dalam buku Makkah cetakan akan datang jika sempat…

Perjalanan Ke Madinah:
28 Zulhijjah 1431H bersamaan 05 Dis. 2010, iaitu Selepas dua minggu selesai menunaikan ibadat haji, kami pun berangkat ke Madinah dengan menaiki bas syarikat Rawahil. Alhamdulillah, dalam perjalanan ke Madinah ini jemaah Ash-Har agak bernasib baik kerana pihak pengurusan syarikat berjaya mendapatkan bas-bas Mercedes yang baru dan selesa.
Memang agak memenatkan bagi para jemaah haji kerana kebanyakan bas yang disediakan oleh pihak muassasah sepanjang musim haji ini agak lama dan usang ini, perjalanan pula memakan masa yang panjang dan lama.
Tidak ketinggalan juga kami para jemaah haji Ash-Har, telah merasai semua pengalaman ini semasa dalam perjalanan ke manasik haji sepanjang di Makkah.
Keadaan ini tidak peliklah kerana bayaran tiket yang dibayar kepada muassasah (Naqabah- Syarikat bas Saudi) oleh pihak kerajaan Malaysia untuk setiap hujjaj kita hanyalah SR347.50 seorang untuk semua perjalanan sepanjang musim haji ini. Bermula dari airport Jeddah masuk ke Makkah, perjalanan dari Makkah ke Arafah, Mina, Muzdalifah dan balik semula, kemudiannya ke Madinah serta ke airport Madinah. Jika dari Madinah ke airport Jeddah pula bayarannya ditambah sedikit kepada SR435.00. Jika dikira pada musim haji, bayaran ini amatlah murah dan berpadanan dengan bas yang disediakan!
Jadi sepanjang perjalanan haji ini banyak terdapat bas-bas jemaah kita yang mati dan rosak di tengah perjalanan. Mereka terpaksa berpenat menunggu bas lain datang ataupun terus berjalan kaki; terutamanya dalam perjalanan balik dari Mina ke Makkah. Hakikat ini memang berlaku pada setiap tahun.
Jadi besarlah harapan kami agar pihak kerajaan, kementerian haji Msia untuk berunding dengan pihak Naqabah/Muassasah Haji Arab Saudi agar khidmat ini dapat dinaik tarafkan, dengan menambah bayaran yang sesuai dengan keselesaan kenderaan yang disediakan. Ini kerana bas baru memang ada dan disediakan, kita dapat melihatnya digunakan oleh sebahagian daripada jemaah dari negara-negara lain. Kenapa kita tertinggal dalam masalah ini!

DI MADINAH.
Setiba di Madinah kami ditempatkan di Hotel Diyar Royal, tidak jauh dari Masjid Nabawi. Kedudukannya di sebelah belakang masjid, di tengah-tengah antara Hotel Hilton dan Darul Hijrah, Inter-Continental.
Di sini jemaah kita juga kuat beribadat di Masjid Nabi, berjuang untuk masuk bersolat di Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah saw. Mereka juga dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah di Madinah, Kota Rasulullah saw yang bercahaya ini.
Antara tempat yang dilawati, perkuburan Baqi’, yang terdapat didalamnya sahabat-sahabat besar seperti Sayyidina Usman bin ‘Affan ra, para isteri Baginda Ummuhaatul Mukminin seramai 9 orang, puteri-puteri Rasulullah saw 4 orang dan anak lelakinya Ibrahim dan lain-lain sahabat, syuhada’ dan auliya’.
Mereka juga telah dibawa ke Bukit Uhud dan di sana Abu Anas membawa mereka menaiki Jabal Rumah, tempat tentera pemanah ditempatkan semasa peperangan Uhud. Para jemaah diminta membayangkan suasana teragik hari Uhud yang bersejarah itu; dengan tentera muslim yang syahid bergelimpangan seramai lebih 70 orang dikaki bukit, jasad sayyid Syuhada’ Hamzah bin Abdul Mutalib yang terburai perutnya setelah dirosakkan dengan kejam, Rasulullah saw sendiri yang cedera dan berlumuran darah diwajahnya serta para sahabat lain yang cedera dan sebagainya. Ini semua adalah untuk mengembalikan keinsafan dan kesedaran akan sejarah yang berlaku. Ziarah syuhada’ Uhud menjadi amalan Rasulullah saw selain Baqi’ dan Masjid Quba’.
Mereka juga dibawa ke Masjid Quba’ yang mempunyai kelebihan tersendiri; sekali solat dapat pahala umrah. Saqifah Bani Saa’idah tempat perlantikan Sayyidina Abu Bakar menjadi khalifah, jemaah diterangkan kronologi peristiwa tersebut dan menjawab beberapa tuduhan jahat golongan Syiah Rafidhah terhadap As-Siddiq dan sebagainya. Dan lain-lain tempat lagi…

Bukit Magnet.
Ramai juga para jemaah haji yang bertanya tentang Bukit Magnet yang sering diperkatakan di Madinah ini. Jawapannya sebagaimana yang didapati daripada Wikipedia, The Free Encylopedia: “A magnetic hill or gravity hill is a place where the layout of the surrounding land produces the optical illusion that a very slight downhill slope appears to be an uphill slope. Thus, a car left out of gear will appear to be rolling uphill”.
Bukit magnet atau Bukit Graviti yang mana kedudukan/keadaan persekitaran muka buminya akan menghasilkan ilusi optic (logamaya) di mana satu bukit yang sedikit condong ke bawah (menurun) akan kelihatan seperti condong ke atas (menaik). Maka kereta yang dibebaskan gearnya akan kelihatan seolah-olah menggelunsur ke atas bukit.
Memang fakta ini adalah benar dan tepat sekali, berdasarkan pengalaman ana semasa ke sana dulu, untuk menuruni bukit ini (sebenarnya mendaki) kita perlu menekan minyak sebagaimana kebiasaannya ketika menaiki mana-mana bukit/ketinggian. Manakala ketika menurun yang sebenarnya (walaupun nampak seolah mendaki) kereta pastilah akan bergerak turun dengan sendiri! Bahkan menurut Wikipedia juga, bukit ini sebenarnya dikenali sebagai Lembah Jin kerana kedudukannya yang sunyi dan terpencil (Bahkan masyhur di kalangan penduduk Madinah bahawa tempat tersebut sebagai tempat buang jin). “Saudi Arabia: Wadi al Jinn (Valley of Jinns) in Madinah. The Co-ordinates for this Hill are 24.7225583333 N, 39.4445166667 E. Lihat: http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_magnetic_hills.
Jadi tidak perlulah untuk kita menziarahinya kerana tiada apa-apa kelebihan yang khusus. Utamakan menziarahi Masjid Quba yang mempunyai fadhilat khas dan tempat-tempat sejarah lain yang boleh menambahkan ilmu dan kesedaran tentang perjuangan Rasulullah saw.
Selamat tinggal Madinah…
Setelah 8 hari di Madinah, akhirnya tibalah masa untuk meninggalkan Tanah Haram Madinah, jemaah telah dijelaskan bahawa Ziarah Wada’ adalah satu istilah yang sering disalah fahami oleh sebahagian jemaah, mereka menyangka hukumnya sama seperti Tawa’ Wada’ bagi orang yang hendak meninggalkan Makkah wajib melakukannya di saat terakhir nak keluar dari Makkah.
Tawaf Wada’ memang hukumnya mesti diakhirkan, bahkan ada sebahagian ustaz Travel… melekatkan iklan di hotel: “Setelah selesai tawaf mesti terus keluar dari Masjid Haram, tidak boleh tunggu solat lagi walaupun dah dekat dengan azan, kalau ketika berjalan keluar tu dah iqamat boleh melakukan solat”. Nampak sangat tak sesuai dan ketat fatwa itu dengan zaman ini, kalau pada tahun 70an atau awal 80an dulu memang jemaah haji siapkan barang-barang dan pergi dengan bas ke kawasan masjid, bas pula terus menunggu di situ dan selesai tawaf mereka terus menaiki bas. Tetapi sekarang bila semua selesai baru bas datang, atau terpaksa menunggu bas berjam-jam lagi… Allahulmusta’aan.. ini mungkin kerana bas tidak dibenarkan masuk ke kawasan hotel, samada kerana waktu solat atau kecuaian pihak Muassasah yang menguruskan bas….
Bagi pengunjung Kota Madinah tidak disyaratkan sedemikian dan sebenarnya istilah ziarah wada’ tidak sesuai digunakan kerana akan mengelirukan sebahagian jemaah…
Jika dapat solat sekali dalam Masjid Nabi atau Raudhah dan menyampaikan salam kepada Rasulullah saw sekali berhadapan dengan maqam Baginda kira sudah terhasil maksud ziarah sebenarnya. Bagi jemaah yang datang dari jauh seperti kita dari Malaysia ini dan lama tinggal di Madinah, bolehlah pergi sekali lagi sehari sebelum pulang atau bila-bila waktu yang sesuai, tidak semestinya pada hari terakhir sebelum keberangkatan pulang.

Kepulangan Jemaah KT82:
Pada jam 2pagi 14hb Disember, kami bersiap untuk berangkat pulang ke tanah air. Jam 4.30pagi kami keluar dari hotel menuju ke airport.
Jam 8 pagi filght Saudi Airlines SV 5214 menerbangkan kami terus ke KLIA dan tiba di KLIA hampir jam 10malam.

Solat hormat waktu.
Dalam perjalanan kami terpaksa menunaikan solat zohor dan asar di atas flight. Jemaah kami melakukan solat jama’ dan qasar secara sempurna. Manakala majoriti penumpang jemaah haji lain hanya melakukan solat hormat waktu sahaja, tanpa wudhuk dan berdiri (qiyam), cuma niat solat sambil duduk di atas kerusi sahaja. Bila ditanya, mereka menjawab begitulah kursus ibadat yang kami lakukan.
Satu pengalaman baru, dalam pesawat kami ini terdapat seorang wanita Malaysia yang berpakaian seperti pramugari SAUDIA tetapi dia tidak bertugas seperti petugas lain. Sepanjang penerbangan dia menterjemahkan setiap pengumuman ke bahasa Melayu dan juga mengisytiharkan setiap kali masuk waktu solat seperti zohor dan asar, lalu meminta agar para penumpang melakukan solat hormat waktu. Yang lucunya apabila masuk waktu mahgrib pun kami diminta supaya solat hormat waktu lagi! Sedangkan hukum yang sepatutnya para jemaah boleh menunaikan solat jama’ ta’khir bersama isya’ setibanya di airport KLIA nanti! Mungkin beliau telah dilatih untuk mengisytiharkan “solat hormat” waktu saja, maka itulah kerjanya sepanjang penerbangan itu, wallahua’lam. Harapnya pihak yang bertanggungjawab memberi maklumat jelas tentang solat jama’ kepada beliau agar tidak mengelirukan jemaah…

Di KLIA.
Setiba di KL, jemaah yang ingin pulang ke Kota Bharu dan Kuala Trengganu terpaksa bermabit di airport pada malam itu untuk menunggu flight keesokan harinya. Ada yang dibawa pulang oleh saudara maranya dan tak kurang juga yang terpaksa mencari tempat dicelah-celah beg dan kerusi yang kosong.
Ada jemaah kami (dari Kajang) yang bermurah hati meminta agar keluarganya membawa makanan (Satey dan mee goreng dll) untuk makan malam bagi jemaah yang terpaksa bermalam di KLIA, jazakumullahu khaira.
Alhamdulillah, pada 15 Dec 2010 selamat sampai di Pondok Sungai Durian.

Beberapa pemerhatian penting yang sesuai untuk dinukilkan di sini;
Perhatian: Pengamatan ini berdasarkan kepada umum jemaah haji (pakej atau muassasah), bukan khusus untuk jemaah Ash-Har sahaja.
Pagi Jumaat di Masjid Nabawi.
Pada solat subuh pagi Jumaat itu Imam Sheikh Dr. Ali Abdul Rahman al-Huzaifi telah membaca surah as-Sajadah. Sepanjang musim haji pada tahun ini, surah ini tidak dibaca di Makkah dan Madinah, kerana takut mengelirukan jemaah haji. Tetapi mungkin apabila beliau melihat jemaah haji sudah agak berkurangan al-Imam pun membacanya. Maka berlakulah apa yang dikhuatirkan itu! Apabila Imam sujud tilawah dianggarkan hampir 90% para jamaah yang rukuk. Maka setelah diteliti dan ditanya beberapa orang jemaah, didapati orang kita hanya melakukannya sekadar ikutan dan adat. Mereka melakukannya di Malaysia kerana imam melakukannya setiap Jumaat, tetapi mereka tidak bersedia untuk melakukannya di Tanah Haram kerana menganggap ia tidak dilakukan di sini. Ini juga menunjukkan mereka tidak mengenali surah Sajadah walaupun sujud setiap minggu sebelum ini (jika mereka ahli masjid).
Berbeza dengan surah Yaasin, orang Melayu sangat mengenalinya, sehinggakan suatu pagi, apabila Imam Huzaifi membaca surah Yaasin pada suatu pagi dan terlupa ayatnya, ramailah yang menegurnya di belakang…
Kesimpulannya kita hendaklah mempelajari, mengenali dan membaca keseluruhan al-Quran itu, bukan hanya sekadar beberapa surah pilihan tertentu sahaja.
Solat Istisqa’:
Di Madinah juga kami sempat melakukan solat istisqa’ (minta hujan) pada hari Isnin. Sebelum haji kami juga telah berpeluang melakukannya di Makkah.

Tabiat merokok:
Kebiasaan yang sangat susah untuk ditinggalkan bagi orang yang memang tidak mahu meninggalkannya, walaupun sudah berada di Makkah, pada hari haji; ketika berwukuf di Arafah, Muzdalifah, Mina dll tempat suci. Seolah-olah hari dan tempat tersebut tidak ada yang istimewa bagi sang perokok, sanggup mencabul kehormatan Tanah Haram dan Hari Arafah yang istimewa, Tanah Haram Madinah bandar Rasulullah saw… sabda Rasulullah saw:
“Sentiasalah umat ini berada dalam keadaan baik selagi mereka mejaga kehormatan Tanah Haram ini. Tetapi apabila mereka mensia-siakannya dan tidak lagi menghormatinya, maka mereka akan binasa…..”. [HR Imam Ahmad dan Ibnu Majah].
Maksud binasa ini, walaupun tubuh badannya tetap sihat, tetapi binasa dari segi akhlak dan etika, walaupun berada di Arafah pada hari yang sangat besar kedudukannya di sisi Allah SWT! Geng-geng haji ‘Malboro’ ini kebiasaanya mereka akan berkumpul di tepi tandas untuk melepaskan gian mereka, pada ketika saat jemaah haji lain sedang berteriak tangis memohon keampunan dari Allah SWT di dalam khemah dan tempat-tempat lain. Perbuatan golongan ini benar-benar menyakitkan hidung dan mata jemaah lain.
Apabila tiba di Madinah dan bekalan yang dibawa sudah habis, mereka menggunakan pula khidmat pekerja hotel hatta penyapu sampah untuk memenuhi nafsu buruk mereka ini. Sepatutnya ketibaan di madinah diisi dengan mencari ilmu atau ulama’-ulama’ di masjid Nabawi, mereka pula mencari golongan tukang sapu dan pengangkat barang…Masya’Allah!

Pakaian:
Alhamdulillah bila tiba di Makkah para Hajjah memang mematuhi Syariah dari segi pakaian. Dengan telekung sembahyangnya yang labuh dan menutup aurat mereka ke mana-mana, hatta pada waktu makan dan melawat ladang unta! Sungguh sopan dan indah pakaian mereka.
Namun kecantikan itu hanya pada sebelah atas, manakala pada bahagian bawah, mereka masih terbawa-bawa dengan pakaian yang menjadi kebiasaan mereka semasa di Malaysia, dengan seluar ketat dan sebagainya. Ianya masih tidak lulus Puspakom Syariah, lulus sebelah atas, tapi gagal di bahagian bawah!
Amat malang lagi bila sudah terbang balik ke Malaysia, tudung dan pakaian yang menutup aurat juga turut terbang darinya. Jika di Makkah / Madinah mereka sentiasa bertudung rapi, bertelekung sembahyang 24 jam sehari, kenapalah tidak sanggup untuk menutup aurat yang wajib sekembalinya ke tanah air?
Bahkan ada yang setibanya sahaja di KLIA semua ini hilang, tudung kembali singkat dan tidak memenuhi piawaian, baju singkat, seluar ketat, kening lotong dan wajah yang bersih dulu kembali diconteng berwarna-warni.
Sabda Rasulullah SAW: “Dua golongan ahli neraka yang aku tidak pernah melihatnya. Pertama; Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi seperti telanjang… (mungkin disebabkan terlalu nipis atau terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan) ….”[HR: Muslim].

SOLAT BERJEMAAH:
Alhamdulillah semasa di Makkah dan Madinah, jemaah kita cukup rajin ke masjid bahkan awal lagi mereka pergi, walaupun mungkin semasa di tanah air mereka agak liat ke masjid. Semoga solat jamaah 40 waktu yang dilakukan di Masjid Nabi itu menjadi asas untuk mereka terus beristiqamah melakukannya sekembali ke tanah air. Amatlah rugi jika ibadat ini hanya menjadi rutin dan amalan semasa di Tanah Suci sahaja, balik ke rumah tidak kenal lagi masjid dan surau.
Tetapi yang mencacatkan fenomena ini ialah mereka akan keluar terlalu awal dari masjid sebaik saja selesai bersolat, sehingga menimbulkan kesesakan di muka pintu masjid dan menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Mereka juga terpaksa melintasi bahkan mungkin melangkah jemaah lain yang masih sedang bersolat. Apa salahnya jika menunggu seketika sehingga keadaan agak reda, ambil kesempatan solat sunat, membaca al-Quran dan sebagainya. Jika dilihat waktu mereka bergegas keluar itu, seolah-olah tidak sempat solat sunat rawatib pun.
Ada setengahnya pula lebih suka menjadi jaga masjid, datang ke masjid hanya setakat di pintu atau terus mengambil tempat, menghampar sejadah di luar masjid. Subhanallah, datang ke Makkah beribu KM jauh, menghabiskan duit tambang beribu-ribu (bahkan mungkin ada yang menghabiskan duit pusaka) tetapi kenapa kesempatan ini tidak diambil untuk melakukan ibadah sesempurna dan semampu mungkin?
Dan yang lebih malang lagi ada yang tidak ke masjid terus, sekadar menjadi penunggu hotel sahaja! Apabila ditanya kenapa tidak ke masjid, jawabnya batuk, sakit tekak dan lain-lain masalah yang tidak menghalangnya untuk ke masjid sebenarnya. Apa kaitannya semua itu, bukannya dia yang hendak menjadi imam solat…..
Terdapat juga segelintir kecil jemaah haji yang menganggap diri mereka sebagai orang yang musafir, jadi mereka hanya melakukan solat jama’ sepanjang tempoh berada di Makkah – Madinah, hanya melakukan solat sebanyak tiga waktu sahaja sehari. Jadi biasanya apabila orang keluar untuk menunaikan solat isya’, mereka akan berkumpul di lobi hotel untuk berbual bahkan ada yang merokok juga. Ini akan memberi satu imej yang amat buruk dan negatif kepada jemaah lain. Seolah-olah solat di dua Masjidil Haram itu tiada apa-apa kelebihan bagi mereka.
Peringatan untuk golongan ini, jika mereka mahu berpegang dengan pendapat ulama’ yang mengatakan orang musafir itu boleh menjama’ solat selagi mereka tidak balik, mereka juga harus tahu ulama’ yang mengeluarkan fatwa itu juga berfatwa bahawa solat jamaah itu juga wajib ke atas orang musafir (lelaki) sekiranya berada pada satu tempat tertentu dan dapat mendengar azan (bukan dalam perjalanan). [Lihat fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin: 15/ 252].
Di antara tanda-tanda haji mabrur itu ialah amalan selepas haji adalah lebih baik daripada yang sebelumnya. Jika dulu tidak solat, selepas haji sudah tetap solatnya bahkan berjemaah di masjid, jika dulu tidak kemas tudungnya, selepas haji auratnya tertutup rapi dan kemas, alhamdulillah.

MAKANAN:
Bab makanan memang menjadi satu isu bagi jemaah haji. Maklumlah berada di tempat lain, tukang masak pula dari Arab atau Indon, pastilah citarasa agak berbeza. Jadi para jemaah haji hendaklah menjadi orang yang bersyukur, hendak makan seperti di rumah kita sendiri adalah mustahil, tetapi cuba periksa adakah timbangan anda naik atau turun selepas kembali dari Haji? Kebanyakannya dalam keadaan mengomen tidak berselera, lauk tak sedap dan sebagainya, habis lagi berpinggan. Ketika makanan sedap dan memenuhi citarasa, tiada pula komen atau pujian? Bersyukurlah dengan makanan yang banyak, buffet yang boleh ditambah, dan tidaklah pernah kebuluran. Apa salahnya kita bertolak-ansur, sekali-sekala belilah makanan dari luar untuk mengubah selera daripada menjadi pengomen tetap setiap hari, jadilah manusia yang bersyukur, bandingkan dengan mereka yang pergi dengan muassasah biasa, 50 hari hanya mengadap nasi bungkus sahaja.

Itulah beberapa pengamatan dan pengalaman ringkas yang dapat dicatatkan di sini, walaupun sebenarnya banyak lagi yang ingin diperkatakan. Cukuplah ianya sebagai satu isyarat kepada yang lain. Kepada sahabat-sahabat lain yang mempunyai pengalaman dan pandangan yang ingin diluahkan bolehlah menyambungnya.

Semoga Allah menerima semua amalan yang dilakukan, hajjan mabrura wa zanban maghfura, dan ampunkanlah segala kekurangan dan kesalahan kami samada yang sengaja atau tidak. Juga agar kita sentiasa berada di dalam taufik dan hidayah-Nya, istiqamah beramal dengan amalan yang diredhai-Nya dan mengikut sunnah Nabi saw.
Doa memohon agar terus beristiqamah
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, Aku berlindung dengan-Mu dari terpesong daripada landasan yang benar setelah mendapat hidayah”.
وصلى الله على نبينا وحبيبنا وقدوتنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.
Akhukum, Abu Anas Madani.
13 Muharram 1432H/ 19 December 2010.
Pondok Sungai Durian.

About admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

x

Check Also

KEMBALI KEPADA UNDANG-UNDANG ALLAH (HUDUD)

Sepatah kata Abu Anas Madani: Syariah Islam adalah suatu perundangan yang Allah ...