Catatan Rehlah Haji Abu Anas Madani 1436H (Siri 01)

Catatan Rehlah Haji Abu Anas Madani 1436H.

Alhamdulillah panggilan haji tiba lagi, terlalu sukar untuk menolak atau membuat keputusan untuk tidak menyahut seruan yang besar ini. Kerana bukan ramai yang dapat tawaran atau panggilan sebegini.

Walaupun pada musim haji tahun 1436H (2015) ini, kedaan kesihatan lutut agak kurang baik, dan sahabat ahli perubatan juga menasihatkan agar menangguhkan pemergian atau rehat seketika untuk memulihkan kesihatan. Namun seruan haji tidak dapat dihalang dengan pelbagai alasan yang cuba dicari untuk menenangkan hati agar dapat menerimanya.

IMG_4360Rombongan

Ada pelbagai jenis perjalanan dan rombongan. Semua dengan tujuan masing-masing, menuju destinasi tersendiri..

Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

“وفد الله ثلاثة: الحاج والمعتمر والغازي”

Maksudnya: “Rombongan Allah ada tiga; iaitu orang yang menunaikan haji, orang yang menunaikan umrah dan orang yang berperang (di jalan Allah).” [Sahih Ibnu Hibban 9/5 (3692)]

Imam Al-Manawi rahimahullah berkata:

“قادمون عليه امتثالاً لأمره”

“Mereka adalah orang yang menuju dan mendatangi Allah untuk melaksanakan perintah-Nya.” [At-Taisir, 2/315]

Perjalanan yang baik adalah perjalanan ibadah yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Rombongan dengan tujuan ini adalah sebaik-baik rombongan.

Semoga Allah memilih kita untuk menjadi mereka yang berada dalam rombongan-Nya. Amin. [#Arar, 1436H]

Pembimbing Jemaah

Seperti biasa ana akan ke Makkah sebagai pembimbing kepada  jemaah Haji Ash-Har Travel, untuk tahun ini dijadualkan bertolak dengan KT 51 bersama 61 orang jemaah. Namun atas beberapa sebab terpaksa tangguhkan jadual penerbangan pada hari Khamis 10 Sept untuk beberapa hari.

Akhirnya, pada hari Isnin 14 September 2015 bersamaan 30 Zulqa’dah 1436H, berangkat dari Kota Bharu dengan MH1389 pada jam 12:30 pm ke KLIA. Sampai di airport rehat seketika, kemudian berjumpa dengan beberapa orang sahabat ahli Masjid Kuaters KLIA diketuai oleh Akhi Jazman.

Haji Zaman DuluTerfikir juga, dengan kecanggihan alat pengangkutan dan teknologi terkini,  masihkah lagi boleh dikira musafir pada zaman kita ini sebagai satu masyaqqah?

1- Musafir Sebahagian dari azab.

Pengembaraan pada zaman kita sekarang sangat senang dan mudah berbanding dengan zaman dahulu. Namun kata-kata “Musafir Sebahagian dari azab” masih terpakai, kenapa?

Imam al-Haramain, Abu Al-Ma’ali al-Juwaini ditanya tentangnya. Jawab Sheikh dengan spontan:

“Kerana ia memisahkan dengan orang-orang yang disayangi”.

Benar, bila mengembara maka ramai orang kesayangan terpaksa ditinggalkan; anak-anak, isteri / suami, ibubapa dan kawan-kawan…

Semoga Allah melindungi kita semua dari sebarang perkara yang tidak baik!

[AAM, Rehlah Haj 1436H- MH 1389 -KB – KL 30/11/1426 – 14/9/2015]

Pada jam 3:30pm, berkumpul di KLIA bersama jemaah yang akan berangkat bersama, iaitu seramai 25 orang yang akan terbang dengan SAUDIA SV835. Penerbangan biasa (Comersial Flight) pada jam 6:00pm.

Alhamdulillah penerbangan dilalui dengan selesa, Bos Ash-Har bermurah hati menempatkan petugas bersama  jemaah di First Class (F).

 

Haji 1436H - KLIA

Alhamdulillah, kami semua selamat tiba di Jeddah pada jam 9:30pm waktu Arab Saudi. Atas nama pakej khas -atau orang suka sebut VIP- maka pihak syarikat telah tempah sambutan khas ke bilik VIP atau khidmat segera. Begitulah rancangannya nak cepat atau nak bagi keselesaan buat jemaah.

Kebetulan dalam flight kami juga ada pakej VIP dari TH Travel dan syarikat Rayhar, maka bersumbatlah terminal dengan para VIP haji ini – jemaah terlalu ramai manakala kaunter Imigration pula satu aje yang dikhaskan.

Di saat penantian ini, sempat membaca cerita haji orang zaman dahulu dan membuat catatan di bawah ini.

Lama Menunggu di Airport.

Jemaah haji yang tiba di Airport Terminal Haji Jeddah terpaksa melalui proses cop pasport, kastam dan menunggu bas. Proses mungkin mengambil masa enam jam atau lebih. Bagi yang ikut pakej mahal pula terpaksa duduk di bilik vip menunggu proses tersebut.

Dalam tempoh menunggu itu, ada yang tertidur kerana kepenatan atau bertukar waktu tidur. Ada yang berbual-bual, ada juga yang istiqamah dengan zikir dan membaca Quran.

Ana terbaca kisah “Berjalan ke Makkah Sehingga Beruban”.

Suatu hari seorang sheikh sedang melakukan tawaf, tiba-tiba dia terdengar seorang jemaah bernasyid:

“Ziarahilah mereka yang engkau sayang, walaupun jauh jaraknya-

Dan terhalang untuk sampai kepadanya dengan berbagai rintangan”.

Sheikh tersebut dapat mengesan, pasti orang ni datang dari jauh.

Lantas beliau bertanya: “Dari mana awak datang?”

Jawab lelaki itu: “Dari negeri China yang jauh.”

Sheikh bertanya lagi: “Sejak bila kamu keluar dari negerimu?”

Jawabnya: “Apa yang tuan nampak di kepala saya?”

Jawab sheikh: “Sudah putih kerana banyaknya uban.”

Kata lelaki itu: “Ketika saya keluar dari negeriku, belum lagi ada uban dikepalaku.”

Kata AAM; “Syukurlah tuan-tuan, makmurkan masa menunggu dengan zikir, talbiyah dan tilawah quran.

Masa kita menunggu tidakkah sampai menambahkan lagi uban yang sedia ada di kepala kita.”

Semoga beroleh redha Allah& haji mabrur.

[AAM, 1 Zulhijjah 1436H. Saat menunggu di KAAIA, Jeddah]

Rehat dan Tunggu.

Setelah berada di bilik menunggu (bilik tanfizi -VIP), jemaah menunaikan solat maghrib dan Isya’ Jama’ taakhir, mencari-cari sim kad data saudi, Zain, STC atau Mobily dan minum-minum dan makan roti atau kek.

Proses imigresen dan kumpul barang siap jam 4 pagi, dah hampir waktu subuh.

Jam 5 masuk waktu subuh, kami solat subuh berjamaah dan berangkat ke bas yang telah sedia menunggu.

IMG_4366

Jam 6:05 pagi bertolak ke Makkah, berhenti di beberapa tempat seperti check point jawazat (imigresen), tempat pengagihan hadiah haj dan ambil guide, lalu terus ke Maktab Muassasah 112 dan 94.

Tiba di Makkah, Hotel Safwah jam 9:30 pagi. Dari mula sampai di Jeddah sampai ke Makkah memakan masa 12 Jam. Alhamdulillah ‘ala kulli haal.

 

Sampai di Makkah.

Alhamdulillah jemaah sampai di Makkah, ada yang tinggal di Hotel Safwah, Jemaah KT 51 majoritinya di Hotel Nada Diyafah dan sebahagian kecil di Saraya Ajyad. Jemaah JKIM pula di Hotel Multazam.

Tragedi kren runtuh Masjidilharam.

Pada Petang Jumaat 27 Zulqa’dah 1436H bersamaan 11 Sep 2015 berlaku ribut dan hujan lebat di Makkah, yang mengakibatkan salah satu kren pembinaan yang terbesar  terbalik.

kren runtuhKemalangan ini menyebabkan lebih 100 orang terkorban, dan 7 orang daripadanya adalah rakyat Malaysia.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menyembuhkan yang sakit dari kalangan mereka.

Lihat laporan di:
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/terkini-tragedi-kren-runtuh-di-masjidilharam-lima-warga-malaysia-disahkan-maut-73042

dan: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tragedi-kren-runtuh-masjidilharam-identiti-8-jemaah-malaysia-dikenal-pasti-73073

kren plan

 

 

 

 

 

 

Cerita Kuota Tambahan.

Tahun ini berlaku lagi anugerah kouta tambahan sebanyak 5000 orang, maka kelam-kabutlah syarikat Travel yang diberi kouta sekita 60 orang lebih bagi setiap satu syarikat. Dari mencari jemaah yang sanggup buat urusan segera, juga mencari seat penerbangan dengan syaraikat SAUDIA sahaja kerana masa sudah lewat.

Pihak pengurusaan di Makkah pula ke sana ke mari mencari hotel yang sesuai dan dekat.

Alhamdulillah jemaah terakhir selamat tiba  pada 19 Sep 2015, iaitu sudah 5hb Zulhijjah 1436 dan lagi dua hari nak ke Mina.

 

Bersyukurlah!

SESUNGGUHNYA DIRIMU TELAH DISERU.

قال الله تعالى :

“وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ.” (سورة الحج : ٢٧

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (Surah al-Haj : 27)

Al-Imam Ibnu Kathir rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya :

Allah memerintahkan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam menyeru manusia supaya menunaikan ibadah Haji.

Nabi Ibrahim bertanya : Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku boleh menyampaikan seruan ini kepada manusia sedangkan suaraku tidak mampu melaksanakannya?

Allah menjawab : Serulah, kami yang akan menyampaikannya.

Lalu Nabi Ibrahim pun menyeru :

Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian telah menjadikan rumah ini (Kaabah) sebagai tempat ibadah, maka datanglah untuk melaksanakan ibadah Haji.

Dikatakan bahawa suara tersebut telah sampai kepada mereka yang berada di dalam rahim para wanita dan sulbi para lelaki. Bahkan telah diterima seruan tersebut oleh semua yang mendengarnya daripada batu-batu, tanah liat, pokok-pokok dan sesiapa yang telah ditulis di sisi Allah untuk melaksanakan ibadah Haji sehinggalah Hari Kiamat.

Lalu mereka menjawab :

لبيك اللهم لبيك

(Kami sahut seruan-Mu ya Allah)

قال ابن كثير هذا مضمون ما ورد عن ابن عباس ومجاهد وعكرمة وسعيد وابن جبير وغير واحد من السلف ، والله أعلم. – انتهى كلامه بالتصرف –

“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami dan zuriat kami rezeki untuk melaksanakan ibadah Haji dan mendapat haji yang mabrur di sisi-Mu.”

[#A’AmM, 6 Zulhijjah 1436H].

Petugas dan Pembimbing.

Dalam jemaah Ash-har yang menjadi pembimbing sepenuhnya ialah Ustaz Rohaimi – Mudir Maahad Tahfiz di Kajang- yang datang awal dan balik bersama jemaah terakhir.

 

Abu Anas sebagai ketua bimbingan dan dibantu oleh Ustaz Ahmad Husni – Abu Fatih Al-Mubaraki- dan Ustaz Ahmad Hasyimi – Abu Abdurrahman.

Semua para pembimbing sangat aktif, bersemangat dan dedikasi, jazakumullahu khaira.

 

Kebetulah bersama jemaah kami juga Ustaz Abdullah Bukhari -Pensyarah UIA- juga boleh dikira pembimbing bantuan serta pencatat dan pengulas isi kandungan tazkirah yang  sangat bermanfaat, barakallahu fiik ya Ustaz Loh.

Ustaz Loh menemani ana dalam rehlah haji kali ini ke Arafah, Mina & Muzdalifah.

 

Keberkatan

Allah Ta’ala perintahkan kita untuk sentiasa melakukan  kebaikan dan berbuat ihsan.

Namun, ada masanya, ada perbuatan baik yang dilakukan tidak dipedulikan atau tidak dihargai oleh manusia.

Seorang ulama’, As-Syinqithi berkata kepada anaknya:

لا تَحزنْ عَلى طَيبتك؛ فَإنَ لَم يُوجَد فِي الارَض مَن يَقدرهَا؛ ففي السَماء مَن يَباركهَا

“Janganlah engkau bersedih dengan kebaikan yang engkau lakukan. Jika tiada di atas bumi ini yang menghargainya, maka ada yang di atas langit yang MEMBERKATINYA”.

Maka buatlah ihsan dan kebaikan, samada ia dihargai manusia atau tidak. Semoga Allah memberikan keberkatan kepada yang melakukannya.

[#Arar, Haj 1436H].

 

Tazkirah Sebelum Haji.

Beberapa siri kuliah dan tazkirah yang sempat dilakukan sebelum haji kepada para jemaah ialah;

1- Anda di Makkah.

Memperkenalkan kepada jemaah kedudukan Bumi Makkah, Kelebihan dan sejarahnya. Menjaga Adab ketika di Makkah & Ketika Haji.

AAM 01 Rehlah Haji 1436; 

Kelebihan Tanah Haram Makkah 

dan Memahami Erti Haji Mabrur. 
https://yout3p_hbLltOs0

2- Fadhilat Amalan di Awal Zulhijjah & di Makkah.

Tazkirah tentatif untuk memenuhkan masa di Makkah dengan membaca al-Quran, berpuasa, berzikir, sedekah dan lain-lain.

Lihat Kuliah di:

 3- Tips Meraih Haji Mabrur & Ulangkaji Hukum Haji dan Sunnahnya.

Haji Mabrur;

AAM; Beberapa Tips Untuk Meraih HAJI MABRUR Yang Sangat Besar Kelebihannya”
Lihat di: YouTube – https://youtu.be/Gj6z-KAIZrc

 

AAM; Tips-tips Mengisi 330 Minit Di Arafah Yang Perlu Dilakukan Oleh Jemaah Haji. 

 


Haji Mabrur:

Mabrur dari perkataan al-Bir, kebajikan dan lawannya dosa.

1- Ada ulama’ berkata:

Haji mabrur ialah haji al-maqbul iaitu yang diterima oleh Allah.

Tidak ada seorang pun yang mengetahui tentang qabul amalannya selain Allah, kerana itu Allah berfirman, maksudnya: {Sesungguhnya Allah menerima amalan dari orang yang bertaqwa.} [al-Maidah: 27].

Berkata Abu ad-Darda’ ra ketika membaca ayat ini:

“Kalau aku yakin bahawa Allah swt telah menerima dariku satu solat sahaja, lebih aku kasih dari dapat memiliki dunia dan isi kandungannya”.

2- Haji Mabrur ialah haji yang dilakukan dalam keadaan bersih dari sebarang dosa. Ini pandangan pilihan Imam an-Nawawi.

3- Haji mabrur ialah haji yang tidak ada perasaan riya’ dalam menunaikannya.

Kata Imam al-Qurtubi rh:m

“Tiga pendapat di atas hampir sama maknanya.

Haji mabrur: Ialah haji yang telah disempurnakan hukum hakamnya dan bertepatan amalannya dengan tuntutan syariah dengan cara yang sempurna”.

[Al-Haj, dari Bulugh al-Maram: 34]

‪[#‎AAM, Mina, Maktab 94, Malam Tasyrik Pertama 1435H].

Haji Mabrur (02):

شروط الحج المبرور

Syarat untuk mendapat haji mabrur;

1- Niat yang ikhlas kerana Allah, tidak riya’ dan nak menunjuk-nunjuk kepada orang.

2- Nafkah yang halal.

Allah Yang Toyyib tidak menerima melainkan yang baik.

3- Menjaga anggota ketika mengerjakan haji dari perbuatan munkar dan maksiat, mengumpat, menjadi batu api, berbantah-bantah dan seumpamanya.

4- Menunaikan amalan haji dengan menyempurnakan rukun, wajib, syarat dan semua sunnah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w serta banyak berzikir kepada Allah.

5- Setelah selesai mengerjakan haji, hendaklah menjaganya dari sifat riya’ dan perkara yang menghilangkan pahalanya.

#AAM, Mina, hari al-Qarr 1435H.

Haji Mabrur (03):

ISYTIHAR PEMERGIAN HAJI…RELEVANKAH?

Dr Abdul Basit (wakil Ash-har Travel) memberikan taklimat gerakan ke Mina untuk hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) sebelum Wuquf pada ke 9 Zulhijjah.

Timbul persoalan adakah relevan mengisytiharkan pemergian kita ke Mekah untuk Haji?  Bimbang akan timbul riya’?

Bimbang diberikan duit belanja oleh saudara mara dan teman2?

Ini jawapan Dr Abdul Basit terhadap anggapan itu:

“Ikhlas adalah rahsia hati. Apabila ramai yang tahu, maka DOA MEREKA AGAR KITA MENDAPAT HAJI MABRUR mungkin membantu kita memperolehi anugerah haji mabrur.

Duit hadiah atau sedekah dari saudara mara serta kawan-kawan sempena pemergian kita ke Haji MAMPU MEMANJANGKAN PAHALA UNTUK SI PEMBERI SEDEKAH/HADIAH kerana bukan semua berkesempatan menunaikan haji.”

Semoga kita semua mendapat PAHALA HAJI MABRUR sama ada secara fizikal di Mekah atau di Malaysia. Amin!

[#Catatan: Haji Abdullah Bukhari Abdul Rahim – Makkah 21 September 2015].

Berpisah Maktab.

Setelah Persiapan dibuat, sebahagian jemaah yang datang akhir terpaksa berpisah lantaran jemaah yang ke Maktab 94 terlalu ramai, maka sebahagian dari jemaah yang datang lewat ditempatkan di Maktab 68, atau dikenali dengan “Maktab Furada” iaitu -Jemaah haji yang datang sendiri-.

Maka jemaah Ash-Har sudah terbahagi tiga.

1- Maktab 112 (VIP) akan dibawa oleh Sheikh Ash-Har Ustaz Shukri dan dibimbing oleh Ustaz Husni.

2- Maktab 94 dibimbing Oleh Abu Anas Madani dan dibantu oleh Ustaz Firdaus Mohd Nor dan Ustaz Abdullah Bukhari.


3- Maktab 68 (Seramai 33 Orang) pula dibimbing oleh Ustaz Ahmad Hasyimi dan Ustaz Rohaimi Habil.

Alhamdulillah jemaah yang majoritinya di Maktab 94 dapat berangkat ke Mina pada hari Tarwiyah.

Penjelasan Sunnah Tarwiyah – Sila Baca di:
http://abuanasmadani.blogspot.my/2012/11/catatan-rehlah-haji-1433h-2.html

 

Bersambung: Ke Mina…

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *