Catatan Rehlah Haj 1432H – Siri 1 & 2.

[Catatan Rehlah Haj 1432H [1

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول القائل: “لتأخذوا عني مناسككم” وعلى آله الطاهرين، وصحابته الميامين، ومن تبعهم وترسم خطاهم إلى يوم الدين، أما بعد.

Merafa’kan setinggi kesyukuran kepada al-Maula ‘Azza wa Jalla atas limpah kurnia-Nya memilih hamba-Nya yang haqir lagi faqir kepada keampunan-Nya sebagai dhuyuf-Nya bagi tahun 1432H ini..

Alhamdullillah, perjalanan bermula dari PSD pada jam 8.15 pagi Ahad 25 Zulqa’dah 1432H bersamaan dengan 23 Oktober 2011… memandangkan kesihatan lutut kiri agak kurang baik, maka rehlah kali ini memberi suatu kebimbangan, bagaimana nak melakukan amalan ibadat Haji yang kebanyakannya memerlukan kerja yang melibatkan “jalan kaki”… maka doa dipanjatkan ke Hadhrat ilahi seperti yang telah dikatakan oleh Al-Khalil ‘alaihissalam:

{وإذا مرضت فهو يشفين –Wa iza maridhtu fahuwa yasyfin!}

Maksudnya: “Apabila aku sakit maka DIA lah yang menyembuhkan!” [Lihat Siri 3 & 4 di: http://abuanasmadani.com/?p=1209 ]

Dalam perjalanan singgah sekejap di KIAS untuk menyerahkan kertas jawapan peperiksaan pelajar maddah KDS2311, kemudian rehlah diteruskan ke Mator (Airport KB) yang sepatutnya telah dinaik-tarafkan sebagai International Airport, memandangkan kesibukan dan keperluan rakyat Kelantan dan para pengunjung ke Negeri Tok Kenali yang begitu ramai… tapi apakan daya ‘Asobiyyah’ kemelayuan hanya untuk sebahagian sahaja.. demikian juga dengan jalanraya.. perjalanan dari PSD ke Airport pada waktu pagi mengambil masa hampir 2 jam..sedangkan jaraknya lebih kurang 75km sahaja.

Sampai di AP bertemu dengan al-Fadhil Prof Madya Dr. Mohd Radhi Osman yang juga nak balik ke Penang, datang ke KB menghadiri persidangan… dan secara kebetulan juga Tuanku Perlis akan tiba di AP ketika itu juga, ramailah para pembesar negeri yang hadhir..

Ramai keluarga dan sahabat datang meng”wada’” para jemaah, sahabat setia Dr Hj Zaidi Zakaria sanggup tinggal wad bedah sekejap untuk bertemu mata di AP.. Jazahullahu khaira..

Penerbangan dari KBR jam 11.50am tepat mengikut jadual..  tiba di KLIA, KT berhenti terminal yang paling akhir, cabaran pertama bermula dengan berjalan kaki yang agak jauh, dibantu oleh escalator yang bergerak.

Kami disambut oleh staff Ash-Har dan Tabung Haji, menaiki bas yang disediakan ke Kompleks Haji Kelana Jaya.. sampai di KHKJ dah jam 3 lebih..

Penempatan tempat rehat; jemaah wanita diberi asrama tingkat 4 yang lengkap setiap biliknya dengan bilik air, manakala jemaah lelaki seperti biasa di Dewan Seri Jugra1. [http://www.tabunghaji.gov.my/th/th/KompleksKelanaJaya.htm] Baguslah diasingkan tempat, memandangkan keaadaan bilik air yang sempit, 3 tandas lelaki dan 3 untuk wanita sahaja. Jadi semua untuk lelaki.

Cadangan:

Ana cadangkan kepada pihak TH agar sediakan bilik mandi dan tempat menukar pakaian khas berdekatan DSJ, memandangkan DSJ ini telah digunakan setiap tahun pada musim haji sebagai tempat transit jemaah yang datang dari jauh, [ana sendiri ini adalah kali ke 3 menjadi tamu DSJ] tidak hanya berpada dengan bilik air yang disediakan untuk pengguna DSJ ketika ada majlis jamuan atau seminar, kerana sangat berbeza dua penggunaan itu! Jazakumullahu khaira diucapkan kepada pihak TH sekiranya cadangan ini diambil kira..

Ketika menunggu di KHKJ itu macam-macamlah aktiviti para jemaah, yang kebanyakannya dikunjungi oleh sanak-saudara dan sahabat-handai khasnya yang berada di ibu kota, kebetulan pula hari cuti hujung minggu..

Penyakit biasa umat Islam Melayu ni, walaupun dah nak jadi haji.. masih lagi tidak mahu ikut solat berjemaah dengan kawan-kawan yang sedang solat dalam dewan, sanggup solat bersendirian.. Allahulmusta’aan!

Insya’Allah jemaah yang bersama dengan ana, akan dibimbing (dalam siri ceramah / kuliah di Tanah Haram) dengan kefahaman tentang fadhilat / kaifiyat solat berjemaah, semoga pergi dan balik ada perbezaannya..

Abu Anas diziarahi oleh beberapa orang keluarga dan sahabat. Antara yang datang ialah Ustaz Din DBP bersama keluarganya, sempatlah bual-bual serta menghadiahkan kitab jawi lama (cetakan 50 tahun lepas), mengenai amalan sebahagian masyarakat Melayu. Kitab ini perlu ditahqiq dan dibaharukan lughahnya, mudah-mudahan akan ada ustaz / thalabatul ilmi yang bersedia berkhidmat mentahqiqnya. Ana bersedia menjadi musyrifnya, insya’Allah.  Syukran Ustaz Din..

Bersama dengan rombongan Ash-Har KT 71 ni ialah al-Fadhil Ustaz Nik Zawawi Saleh, Dr. Lukman Tuan Guru Hj Abdullah Pondok Lubuk Tapah bersama beberapa orang Pensyarah UM yang lain.

Bermula jam 9.30 Ash-Har telah membuka kaunter operasi di KHKJ, untuk memudahkan urusan perjalanan. Alhamdulillah, banyak hadiah yang diberi kepada jemaah Haji; dari beberapa buah Syarikat; CIMB Islamic membekalkan losyen yang tak berbau keluaran el-Hajj untuk kegunaan jemaah ketika berihram, MAXIS memberi sim kad SAWA SR25 untuk kegunaan di Arab Saudi, dan seperti biasa hadiah rutin dari Telekom Malaysia; sebuah beg sandang, botol spray air untuk berwudhu’ ketika perlu, tikar untuk digunakan di Arafah-Mina nanti, vitamin dan ubatan untuk kesihatan, serta sebuah buku ulangkaji haji yang mengumpulkan maklumat haji, maqalah “Bayan Lil Haj” yang  telah ditulis oleh pihak bimbingan pada tahun 1430H. Ketika itu sahabat saya al-Mursyid Dr. Zulkifli Al-Bakri dibawa oleh TH sebagai salah seorang pakar rujuk bersama Dato’ Pengerusi.

Hasil kerja Dr. Zul telah nampak, orang macam inilah sepatutnya yang dibawa oleh TH ke Makkah setiap tahun, kerana ummah – hujjaj memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar, khutbah Arafah yang ditulis pun ada roh haji… semoga DZB sentiasa bersama para hujjaj dimusim haji..

Pada jam 1.20am, mula chek-in barang dan berkumpul di Dewan Berlepas, mendengar taklimat sekejap, bacaan doa oleh salah seorang jemaah yang dipilih dari kalangan bakal haji.. pada mulanya ana mengaminkan juga doa tu, tapi setelah dia membaca salah baris, yang akan mengubahkan ertinya, maka ana berhenti setakat itu sahaja… Lain kali pilihlah seorang pembaca yang baik, pihak TH sedia teks doa, biar dia berlatih dulu dalam masa sedang menunggu tu… kerana “Doa adalah Ibadah”.

Kemudian laungan azan untuk berangkat dilaungkan oleh jemaah juga.. seingat ana, yang pergi haji melalui TH tahun 1982 tu, acara azan ni telah ada… Bila jemaah tanya: Ustaz minta dalil azan ketika musafir; nak keluar dari rumah, dewan.. ana pun tak ingat juga.. nanti kita cari selepas ni.. Biasanya soalan ini ditanya di sini… bila balik haji dah terlupa… harapnya sahabat yang membaca catatan ni terus email maklumat yang mereka ada, untuk kita kongsi bersama…

Flight kami akan terbang pada jam 5.30 pagi, sedangkan subuh pada 5.45am. Betapa ana mengharapkan agar berlaku sedikit kelewatan, agar sempat kami solat di Airport, tapi masya’Allah  hari ni cepat pula bergerak, 5.20 dah jalan..

Memandang keadaan sedemikian ana beri nasihat kepada jemaah agar berwudhu’ siap-siap di AP bila masuk waktu subuh terus melakukannya di atas KT setakat yang mampu { لايكلف الله نفساً إلا  وسعها – La Yukallifullahu Nafsan Illa Wus’aha”}. Ada juga jemaah yang buat tak tahu aje [bukan jemaah kami, Ash-Har], ini kerana mereka belajar solat hormat waktu yang  tak perlu wudhu’.

Para pembimbing jemaah kena tingkatkan lagi kefahaman jemaah dalam bab ni… setakat mana yang mampu dibuat tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja { ما لا يدرك كله، لا يترك كله- Ma la udraku kulluhu, la yutraku kulluhu} Ibadah yang tak boleh dibuat semua, jangan tinggalkan semua…

Di atas KT: Jemaah kepenatan, ramai yang tidur, kerana perjalanan kami “Isra’” iaitu berjalan malam… Bagi jemaah yang kena transit di KL, malam tu dah tak berapa boleh tidur… ramai keluarga datang, hendak kemas barang lagi… semoga semuanya menerima ganjaran yang terbaik atas amalan yang baik ini.

Semoga selamat sampai di Jeddah dan Makkah dengan baik… bersambung…

 

Abu Anas Madani, di udara, antara langit dan bumi,

Atas Flight Airbus 330 -SAUDIA- SV5703 ke Jeddah.

24 Okt 2011 jam 10.54am Malaysia.

Sambungan Siri 2:

Catatan Rehlah Haj 1432H [2].

Dalam penerbangan SV5703. [KT 71]; Satu jam sebelum tiba di Jeddah, ramai para jemaah yang tertanya-tanya bilakah akan sampai di miqat? Ada juga yang runsing: Nanti terlepas miqat pula? Berbagai ragam jemaah ketika itu, Abu Anas yang baru terlelap sikit tu pun dikejutkannya.

Perhatian: Kebiasaannya, (dalam penerbangan kapal haji / umrah) setengah jam sebelum sampai di udara Miqat Qarnul Manazil, kapten akan mengumumkan bahawa kita akan melintasi udara miqat.. jemaah yang belum siap berpakain ihram boleh melakukan persiapan.

10 minit sebelum betul-betul tiba di miqat, sekali lagi anak kapal akan mengumumkan akan sampai di miqat, ketika itu para jemaah bolehlah berniat, kerana selepas itu tidak ada lagi pengumuman yang dibuat.

Bagi jemaah yang akan ke Makkah selepas ini sila ambil perhatian, waktu pengumuman ini, jangan sampai terlepas pula.

Adapun mereka yang akan ke Madinah dahulu setelah turun di Jeddah, jangan berniat di atas kapal terbang, kerana miqat mereka di Zulhulaifah atau Abyar Ali nanti.

Dalam penerbangan ini juga Abu Anas sempat minta izin dengan pramugara untuk bercakap sepatah dua, alhamdulilah dia benarkan bercakap selama 2 minit. Sempatlah membuat penjelasan tentang niat, kategori haji ada tiga, siapa yang nak haji Ifrad, niat haji sahaja, orang yang nak haji tamattu’ niat umrah sahaja, tak ada niat haji tamattu’. Alhamdulillah, penjelasan yang ringkas tapi insya’Allah ada manfaatnya sebagaimana kata sebahagian jemaah.

Dalam keadaan para pembimbing sentiasa memberi kursus dan penjelasan tentang perkara ini, ana dimaklumkan ada juga [dalam KT lain] berlaku sedikit kecelaruan tentang niat, terutamanya golongan yang tak belajar bab haji sebelum datang, atau datang kursus tapi tak faham, atau bila ustaz tanya: Faham semua? Mereka jawab: “Faham ustaz!” jadi siapa sebenarnya yang faham? Allahul musta’aan.

Sepanjang penerbangan dari KLIA – Jeddah, 5.30am – 9.50am [9 jam 20 minit; agak lama daripada biasa] Alhamdulillah, makananan dihidangkan sebanyak 2 kali; ada nasi dan spagheti.

Pada jam 9.40am (waktu Saudi) selamat mendarat di King Abdul Aziz Int. Airport [KAAIA], turun KT naik bas pula, sampai di Terminal Haji jam 10am.

Selesai masuk airport kena rehat dulu, tunggu giliran jemaah di hadapan selesai cop passport mereka, bila kosong baru kami di panggil ke imigresen. Selepas itu ambil barang, bawa ke kastam, masukkan ke dalam scanner dan bawa keluar, diambil oleh petugas muassasah dan dibawa ke tempat berkumpul hujjaj Malaysia.

Jemaah sekali lagi kena beratur untuk mendapatkan tiket bas ke Makkah, Madinah dan masya’ir. Harganya sama dengan harga tahun lepas.

Setelah itu dibawa ke tempat berkumpul hujjaj Maliziya, ruang di hujung terminal haji. Solat zuhur & asar jama’ taqdim, kemudian beratur naik bas. Di atas bas baru di beri makanan, kabsah (nasi minyak lauk ayam) sedap la makan, sebab lapar dah jam satu lepas zuhur (jam 6pm Malaysia).

Semasa di atas bas, macam-macam urusan lagi kena tunggu… hitung bilangan paspot, sodiq (panggilan kami kepada petugas Bangla) angkat barang naik ke atas atap bas, ceramah pegawai kesihatan tentang penjagaan kesihatan, haram rokok dan lain-lain. AAM sokong benar bab haram rokok ni, bimbang takut orang lain boleh haji mabrur, si hamba Allah ni dapat haji malboro!

Jam 1.54pm bas mula bergerak menuju ke Makkah.. berhenti sekejap di Asy-Syumaisi, urusan passport dan ambil guide untuk ke pejabat muassasah di Makkah, satu badan NGO, Badan Kebajikan Memberi Hadiah Kepada Jemaah Haji dan Umrah [http://www.hajigift.org/Pages/Default.aspx], telah membahagikan sebotol air zamzam dan biskut kepada setiap jemaah.

Kami sampai di pejabat Muassasah Haji Asia Tenggara Maktab 71 di Ajyad Bir Balila, berhenti di hadapan Hotel Syuhada’ yang kebetulan pada waktu itu Solat Asar di Masjid al-Haram.. walaupun saf tak bersambung, putus tengah jalan, ramai juga orang dok solat depan hotel tu…

Sampai di Hotel Ummu Hani* jam 4pm, Alhamdulillah. Dapat masuk bilik no 501..

Selepas solat Isya’, Jam 9.00pm jemaah dibawa ke Masjidil Haram, untuk melakukan tawaf umrah atau tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad dan melakukan Saei umrah atau haji.

Abu Anas pula, telah naik taraf vip (tapi tak ada pula polis mengawal), apabila terpaksa tawaf naik kereta tolak (kerusi roda) ketika tawaf dan saie, lantaran sakit lutut kiri yang agak kronik, tidak boleh jalan jauh dan berhimpit.. semoga Allah swt sembuhkan penyakit ini dengan kuasanya..

Sedihnya perasaan hamba Allah swt ini Tuhan sahaja yang tahu, dulu di Rumah ini aku melakukan tawaf.. berjalan, berlari anak di antara Safa dan Marwah.. berjalan ke sana sini di lorong-lorong di Makkah ini, tempatku berulang alik pagi dan petang dari rumah nenek Aminah –rahimahallah– di Jiyad al-Masafi ke Masjidil Haram, mengikuti kelas tahfiz al-Quran… kini, ketara sangat usia semakin tua, kesihatan semakin terhakis… namun semangat dakwah dan jihad tidak pudar…

Benarlah sabda Nabi saw:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: Dua nikmat yang Allah kurniakan, ramai orang yang kerugian (tidak menggunakannya) dengan sebaik mungkin; kesihatan dan kelapangan. [HR: Bukhari].


Pagi Selasa 28 ZulQa’dah 1432H 25 Oktober 2011 mula bertugas di Hotel Ummu Hani Makkah, Memberi khidmat nasihat dan taujihaat kepada jemaah..

Solat Istisqa’ (solat minta hujan): Pada pagi Isnin 04 Zulhijjah bersamaan 31/10/2011: Selepas solat Isya’ malam tu imam Masjidil Haram (MH) telah mengisytiharkan akan melakukan solat minta hujan esok, memandangkan hujan sudah lama tidak turun, masyarakat yang tinggal di padang pasir kekeringan air, dan rumput makanan haiwan ternakan juga kering. Apabila rakyat mengadu kepada Raja, Baginda akan mengarahkan agar solat Istisqa’ dilakukan diseluruh Mamlakah (Kingdom Arab Saudi).

Selepas Solat Subuh, sejurus selepas matahari terbit, Solat dilakukan diseluruh Negara.

[Rakaman Solat Istisqa’ di: http://www.youtube.com/watch?v=2NYkrGWv9xg&hd=1]

Di Masjidil Haram Makkah, Imam Solat ialah Shaikh Dr. Su’uud Al-Shuraiym, imam yang dikenali dan diminati kelunakan suaranya oleh para jemaah haji seluruh dunia termasuk Malaysia. Sheikh Shuraym seorang yang amat mudah sebak ketika khutbah & Solat, suaranya sayu meruntun jiwa.

Kebiasaannya solat ini akan dihadiri oleh pembesar negeri, Amir Kota Makkah, Khalid bin Faisal bin Abdul Aziz al-Su’ud. Ketua Majlis Tertinggi Qadha’ Arab Saudi, Shaikh Dr. Soleh bin Abdullah bin Humayd. Ketua Urursan Dua Masjidil Haram. Di samping para pegawai kanan Saudi dan ratusan ribu umat Islam.

Antara ungkapan paling menyentuh hati dalam Khutbah Istisqa’ Shaikh Shuraym ialah; beliau memetik ungkapan Seorang Sahabat Nabi saw, Abdullah bin Mas’ud ra tentang punca hilangnya iman manusia akibat perangai mengampu. Ia suatu perbuatan yang amat Allah murkai hingga boleh mengundang bala kepada umat manusia.

Abdullah bin Mas’ud menyatakan tentang manusia yang berjumpa pembesar dengan memuji pembesar itu dengan demikian dan demikian bentuk pujian dan ampuan sambil mengharapkan redha dan habuan daripada pembesar itu. Kata Ibnu Mas’ud, manusia itu balik setelah perjumpaan itu dalam keadaan imannya sudah hilang kerana dia tidak mencari redha Allah, bahkan mengampu untuk mendapatkan reda manusia.

Astaghfirullah! Sungguh sayu seduan tangisan Shaikh Shuraym menaqalkan ingatan sahabat ini tentang dosa-dosa manusia yang menghapuskan amalan mereka dan mengundang kemurkaan Allah.

Shaikh Shuraym juga mengingatkan tentang punca bala Allah turunkan kepada manusia selain sifat jahat manusia yang mengutamakan reda manusia hingga membekalangkan redha Allah, ialah sifat tamak haloba yang tiada batasannya. Kata beliau, hari ini ramai yang makan, tapi tak pernah kenyang, ramai yang mengumpul harta tapi tak pernah cukup, ramai yang mengampu tetapi tak pernah puas. Allah! Ampunilah hamba-hamba-Mu. Astaghfirullah! Sendunya tangisan Shaikh Shuraym mengundang tangisan para jemaah yang memahami bahasa Arab beliau yang amat mudah lagi menusuk kalbu. Kelihatan Sang Amir yang duduk di kaki mimbar, di hadapan Khatib turut mengesat airmatanya akibat ingatan dosa-dosa dan perlakuan manusia ini.

Pemandangan cukup indah gandingan umara dan ulama yang saling mengingati tugas dan tanggungjawab memelihara iman umatnya.

Inilah sepatutnya yang dikutip oleh para jemaah sewaktu berada di Tanah Suci. Saki baki amalan Salaf dan Sunnah Nabi SAW yang hampir tidak wujud di tempat kita. Bagaimana mungkin negara boleh kekal dirahmati jika para ulama tidak diberikan peluang sebebas-bebasnya menasihatkan ummah dan perlakuan jahat mereka yang lari daripada agama dengan sandaran asas agama yang kukuh? Para umara perlu mengkaji hal ini. Pada pihak para ulama pula, sampai bila perlu ada rasa gerun dengan umara apabila menyampaikan yang haq? Bukankah kebenaran yang disampaikan itu adalah untuk memelihara iman dirinya dan iman umatnya. Bukankah dengan terpeliharanya iman, maka rahmat Allah akan berterusan turun mencurah dari langit. Langit dan bumi jadi saksi perlakuan kita semua. Hari akhirat nanti Allah akan membalas dan menilai menurut amalan kita. Umara akan dihisab, ulama juga tidak akan terlepas. Ya Allah, ampunilah kami! Betapa daif dan lemahnya diri ini. Astaghfirullah! Ya Allah! Turunkanlah hujan rahmat-Mu di bumi yang mulia ini. Amin! [Terjemahan Ringkasan Khutbah & ulasan oleh: Dr Juanda]

 

Sepanjang di Makkah; Beberapa siri ceramah telah diadakan kepada jemaah haji Ash-Har Travel yang berada di 3 buah Hotel; Dar Ummu Hani’, Ufuk al-Fateh 2, dan Hotel Safwah Royal Orchid. Jadual ikut hotel jemaah.

Antara tajuk yang dibincangkan;

1-    Anda di Makkah; menjelaskan kedudukan/kemuliaan Tanah Haram Makkah, adab-adab berada di TH.

2-    Kelebihan Sepuluh Awal Bulan Zulhijjah; amalan yang patut dilakukan. [http://www.youtube.com/watch?v=A4QxkgV0Mjo]

3-    Memahami Istighfar, Zikir dan Doa. Buku Zikir Pagi dan Petang, susunan AAM dijadikan sebagai muqarrar / bacaan dan hafalan rasmi jemaah sepanjang musim haji dan insya’Allah akan menjadi amalan sepanjang hayat.

4-    Beberapa Perkara Yang Membatalkan Aqidah.

5-    Ulangkaji Amalan Haji. Persiapan ke al-Masya’ir; Arafah, Muzdalifah, Mina.

 

Insya’Allah swt, Kuliah dan ceramah akan diteruskan di al-Masyair dan akan sambung lagi selepas balik darinya.

Jumaat 8 Zuhijjah 1432H – 04 Nov 2011M, Hari Tarwiyah, Jemaah berangkat ke Mina – Arafah… bersambung dalam siri akan datang, Insya’Allah swt.

 

* Kenali Siapakah Ummu Hani.

Beliau bernama Fakhitah, seorang wanita dari kalangan bangsawan Quraisy. Puteri kepada bapa saudara Rasulullah s.a.w yang bernama Abu Talib bin Abd Manaf bin Abd Mutthalib bin Hasyim bin Abd Manaf bin Qushay. Ibunya bernama Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abdi Manaf. Dia saudara kandung kepada Sayyidina ‘Ali, ‘Aqil dan Ja’far, yang merupakan putera-putera Abu Talib.

Dia begitu memahami tentang agungnya hak seorang suami. Dia juga sangat memahami tentang hak anak-anak yang ditinggalkan suaminya dalam asuhannya. Dia tidak akan mensia-siakan satu pun dari keduanya, sehingga dia mendapat  pujian yang begitu mulia, “Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya.”

Semasa zaman jahiliyah, Rasulullah s.a.w pernah meminangnya. Pada saat yang sama, seorang pemuda bernama Hubairah bin Abi Wahb Al-Makhzumi pun meminangnya juga. Abu Talib menjatuhkan pilihannya pada Hubairah dan akhirnya Abu Talib mengahwinkan Hubairah dengan puterinya.

Dari perkahwinan ini, lahirlah putera-putera Hubairah, di antaranya Ja’dah bin Hubairah yang kemudianya dilantik oleh ‘Ali bin Abi Thalib r.a (khalifah ketika itu) sebagai gabenor di negeri Khurasan.

Putera-puterinya yang lainnya adalah `Amr (telah meninggal dunia ketika masih kecil) juga Hani` dan Yusuf.

Namun pada akhirnya, Islam memisahkan mereka berdua. Ketika Allah swt membukakan negeri Makkah kepada Rasul-Nya s.a.w dan manusia berduyun-duyun masuk Islam, Ummu Hani r.a pun turut Islam bersama mereka. Mendengar berita pengislaman Ummu Hani`, Hubairah pun melarikan diri ke Najran.

Pada hari pembukaan negeri Makkah itu, ada dua kerabat suami Ummu Hani` dari Bani Makhzum, Al-Harith bin Hisyam dan Zuhair bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah, datang kepada Ummu Hani` untuk meminta perlindungan. Waktu itu datang pula ‘Ali bin Abi Thalib r.a menemui Ummu Hani` sambil mengatakan, “Demi Allah, aku akan membunuh dua orang tadi!” Ummu Hani` pun menutup pintu rumahnya dan bergegas menemui Rasulullah S.a.w.

Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang mandi, dilindungi oleh puterinya, Fatimah r.a dengan kain. Ummu Hani` pun mengucapkan salam, lalu Rasulullah s.a.w bertanya, “Siapa itu?” “Saya Ummu Hani`, puteri Abu Talib,” jawab Ummu Hani`. Rasulullah s.a.w pun menyambutnya, dengan berkata: “Marhaban, wahai Ummu Hani`!”

Ummu Hani` mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang kedatangan dua orang kerabat suaminya untuk meminta perlindungan kepadanya, manakala ‘Ali r.a pula ingin membunuh mereka. Maka Nabi s.a.w pun menjawab, “Aku melindungi orang yang ada dalam perlindunganmu dan memberi jaminan keamanan pada orang yang ada dalam jaminan keamananmu.”

Selesai mandi, Rasulullah s.a.w menunaikan solat lapan rakaat. Waktu itu adalah waktu dhuha.

Setelah Ummu Hani` berpisah dari suaminya selepas memeluk Islam, Rasulullah s.a.w datang untuk meminang Ummu Hani`.

Namun secara halus Ummu Hani` menolak, “Sesungguhnya aku ini seorang ibu dari anak-anak yang memerlukan perhatian yang memerlukan banyak waktu. Sedangkan aku mengetahui betapa besarnya hak kepada seorang suami. Aku khuatir tidak akan mampu untuk menunaikan hak-hak suami.”

Maka Rasulullah s.a.w membatalkan niatnya. Baginda bersabda: “Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Quraisy, sangat penyayang terhadap anak-anaknya.”

Ummu Hani` r.a meriwayatkan hadis-hadis dari Rasulullah s.a.w yang hingga sekarang ini termaktub dalam Kutub al-Sittah. Dia pun menyebarkan ilmu sehingga akhir hayatnya. Beliau meninggal dunia pada masa khilafah (pemerintahan) saudaranya, ‘Ali bin Abi Thalib r.a, pada tahun ke-50 H, Ummu Hani` Al-Hasyimiyyah, semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala meredhainya…Wallahu A’alam.

 

(Sumber Rujukan: Al-Bidayah wan Nihayah, Al-Imam Ibnu Katsir (4/292-293); Al-Ishabah, Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-’Asqalani (7/317); Al-Isti’ab, Al-Imam Ibnu Abdil Barr (4/1963-1964); Ath-Thabaqatul Kubra, Al-Imam Ibnu Sa’d (8/47); Siyar A’lamin Nubala`, Al-Imam Adz-Dzahabi (2/311-314); Tahdzibul Kamal, Al-Mizzi (35/389-390))

[Sumber:http://arsipsiroh.wordpress.com/2007/02/25/ummu-hani-bintu-abi-thalib-al-hasyimiyyah-radhiallohu-anha/] Telah membuang akan “Bisa”nya oleh: Abu Fatih al-Mubaraki dan UAM.

 

Akhukum;

Abu Anas Madani, Malam Tarwiyah 1432H.

Dar Ummi Hani’,  Makkah Al-Mukarramah.

 

Catatan Rehlah Haji 1432H [Ada tambahan Gambar di link ini]:

Siri 1: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/10/catatan-rehlah-haj-1432h-1.html

Siri 2: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/abu-anas-madani-catatan-rehlah-haj.html

Siri 3: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/catatan-rehlah-haj-1432h-3.html

Siri 4: http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/11/catatan-rehlah-haj-1432h-4.html

 

Catatan Rehlah Haji Tahun 1431H – 2010M

Siri 1: http://abuanasmadani.com/?p=742

Siri 2: http://abuanasmadani.com/?p=748

Siri 3: http://abuanasmadani.com/?p=760

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *