Rehlah al-Haji 1430H (1)

Catatan Perjalanan Haji Tahun 1430H

Oleh Abu Anas Madani,

Jemaah haji KT65. Melalui Ash-Har Travel & Tours Sdn Bhd.

 بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, wa ba’du.

Haji, Firman Allah Taala:

]وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ[[آل عمران: 97]

Maksudnya: {..Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang mempunyai kemampuan perjalanan ke Baitullah}  [Aali ’Imran: 97].

Sabda Rasulullah saw:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةُ”

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, sesungguhnya Rasululah sallallahu alaih wasallam telah bersabda: “Suatu umrah kepada umrah yang lain adalah kaffarah (menghapuskan segala dosa) di antara keduanya dan haji yang mabrur (diterima) itu tiada balasan baginya selain syurga.” Riwayat Bukhari, no.1773].

Dalam catatan ringkas ini ana akan ceritan sedikit pengalaman yang dilalui dan diperhatikan sepanjang rehlah al-haj (menunaikan ibadat haji) pada tahun 1430 Hijriah bersamaan 2009M.

Semoga apa yang dicoretkan di sini menjadi suatu kenangan dan sebahagian darinya pula boleh dijadikan bahan renungan / perbincangan bersama.

Perjalanan Haji:

8 Zulhijjah (Yaum al-Tarwiyah):

Dinamakan “Hari Tarwiyah” kerana pada hari tersebut para jemaah haji menyediakan air untuk kegunaan mereka di Arafah dan Mina selama tempoh mereka mengerjakan haji.

Pada pagi hari Tarwiyah, Jemaah haji Asia Tenggara termasuk Malaysia akan dibawa terus ke Arafah, tidak dibawa ke Mina sebagaimana Baginda SAW dan para sahabat melakukannya. Baginda berada di Mina melakukan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh secara qasar dan tidak menjamaknya.

Jemaah kita dibawa terus ke Arafah, dengan alasan takut tak sampai ke Arafah dan terlepas wukuf, menyebabkan jemaah tidak dapat haji. Alasan ini sudah lama digunakan, namun ada juga beberapa kumpulan jemaah yang bertindak sendiri dan menuju ke Mina pada hari tarwiyah.

Kita mengharapkan agar sunnah ini dapat dihidupkan oleh jemaah kita setelah perjalanan ke tempat haji (manasik) diperbaiki dan dinaik-tarafkan.

Untuk maklumat pembaca, sekarang ini kelengkapan seperti projek keretapi ataupun monorel yang menghubungkan Makkah, Arafah dan Mina sedang giat dijalankan. Ianya dijangka siap dan dapat digunakan pada musim haji 1431H, insya’Allah.

Pada musim haji tahun ini hujan lebat turun di Makkah dan Arafah. Bermula pada tengah hari (8 Zulhijjah) sehingga ke petang, kebetulan bas yang kami naiki iaitu trip pertama, sampai di Arafah pada jam 11.30am,  hujan sedang turun dengan lebatnya, mebasahi karpet dan tilam yang disediakan untuk jemaah duduk dan tidur.

Tetapi alhmadulillah, bumi padang pasir ni lain sikit, pada malamnya yang basah tadi dah ada yang kering dan boleh digunakan. Bolehlah kami tidur beralaskan tikar dan tilam yang lembab, udara memang sejuk dan nyamuk juga banyak menyerang.

 

Budaya Nasyid / Zikir munajat.

Biasanya pada malam ARAFAH ni, ustaz-ustaz pakej swasta yang dibawa khas oleh syarikat masing-masing akan berzikir dengan kuatnya, menggunakan mikrofon dengan suara yang lantang. Ada yang bermula seawal jam 1pagi dan ada yang selepasnya.

Sedangkan  menurut arahan pihak Tabung Haji, yang telah dikeluarkan melalui perbincangan dengan ustaz-ustaz pakej ini: “Tidak dibenarkan untuk mengadakan majlis zikir dan qiyamullail beramai-ramai secara kuat kerana ini boleh menggangu jemaah haji lain yang mungkin ingin tidur atau berehat untuk menghadapi hari Wukuf keesokan harinya. Ataupun mungkin yang sedang beribadat dan bermunajat secara bersendirian sebagaimana yang dianjurkan.”

Tetapi yang menyedihkannya ada sebahagian ahli zikir munajat ini tidak menghiraukan arahan dan meneruskan program mereka tanpa mengambil kira perasaan orang lain dan melanggar hak kejiranan yang sepatutnya dijaga dan dihormati.

Lainlah sekiranya terdapat riwayat yang menyebut bahawa Baginda Rasulullah SAW dan para sahabatnyna bertahajjud / berzikir munajat beramai-ramai pada malam Arafah sewaktu mengerjakan haji, maka pastilah ia akan menjadi satu sunnah yang harus diamalkan.  

Tetapi pada tahun ini, disebabkan bumi / khemah basah, pihak keselamatan Muassasah Haji tidak membenarkan penggunaan elektrik di khemah kerana merbahaya, maka suasana malam Arafah pada tahun ini agak tenang daripada laungan zikir munajat. Itupun masih ada pihak yang secara kecil-kecilan menggunakan mikrofon bateri pula, meneruskan agenda mereka, Allahul-musta’an.

 

 9 Zulhijjah 1430H. (Yaum Arafah): Wukuf.
Tibalah fajar pagi hari Arafah, suatu hari yang telah disebut dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak ada hari yang Allah swt membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai dari hari Arafah. Allah swt hampir dengan hamba-Nya dan berbangga-bangga dengan mereka kepada malaikat dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu?”  

Pada pagi yang tenang ini, dengan udaranya yang sejuk dan dingin, para jemaah haji menunaikan solat fajar secara berjamaah di khemah masing-masing. Selepas solat ada yang membaca ma’thurat (zikir pagi dan petang) dan mendengar kuliah subuh yang disampaikan oleh ustaz pembimbing masing-masing.

Mereka juga menikmati hidangan sarapan pagi secara ringkas yang disediakan oleh pihak muassasah. Waktu dhuha juga disambut dengan solat dhuha dan ibadat –ibadat lain seperti kuliah dan bacaan al-Quran.

Bila tiba waktu zohor, setiap maktab (lebih kurang 2500 orang) diminta supaya mengadakan solat berjamaah di bawah pimpinan satu imam dan keadaan menjadi agak kelam-kabut kerana sistem P.A yang tidak lengkap dan mencukupi, lalu juruteknik sukarelawan yang tidak bertauliah terpaksa berusaha dengan berbagai cara, ada yang menyambung mikrofon ke mana-mana speaker yang ada sehingga program solat dan khutbah ini berjayadilakukan secara berjemaah.

Ada juga sebahagian khemah yang tidak dapat menyelesaikan masalah ini, sehingga menyebabkan terdapat kumpulan yang terpaksa mufaraqah dan mengadakan solat dan khutbah sendiri dalam khemah syarikat masing-masing kerana tidak dapat mendengar khutbah dan solat dari imam umum.

Diharapkan pihak TH dapat memperbaiki kekurangan kecil ini supaya tidak terjadi lagi gangguan dan masalah sistem PA yang berulang pada setiap tahun ini.

Satu lagi yang membuatkan jemaah berasa pelik adalah apabila khatib selesai khutbah yang pertama dan baru memulakan khutbah yang kedua, seorang muazzin diarahkan untuk bangun melaungkan azan. Lalu terjadilah pertembungan di antara khutbah dan doanya dengan bilal yang sedang melaungkan azan itu, menjadikan para jemaah keliru dan terpinga-pinga, mahu menjawab azan atau mengaminkan doa khatib!

Perkara ini perlulah dibincangkan secara halus dan teliti, apakah sewaktu Rasulullah saw menyampaikan khutbahnya dahulu, berlakunya perkara seperti ini?

Selepas itu imam akan melakukan solat zohor dan asar secara jamak taqdim, tamam iaitu tidak qasar, empat rakaat zohor dan empat rakaat asar.

Sedangkan Jabir ra meriwayatkan pada hari tersebut Rasulullah saw melakukan solat zohor dan asar secara jamak taqdim dan qasar.

Zikir Arafah.

Selepas solat zohor para jemaah mula berzikir, ada yang dipimpin oleh para syeikh dan ada yang secara bersendirian.

Maka zikir yang agak masyhur dikalangan sebahagian ustaz kita adalah zikir: “Hasbi Rabbi JallalLah, ma fi qalbi ghairul-Lah..” dan ia seolah-olah menjadi zikir rasmi pada hari Arafah.

Sedangkan zikir ini tidak diketahui sumbernya dan kelebihannya serta ertinya pula menunjukkan kepada pengakuan membersihkan diri “…. Tiada di dalam hatiku selain Allah” benarkah pengakuan ini?

Sebaliknya zikir yang diajar oleh Rasulullah saw tidak begitu popular (diketahui).

Sabda Rasulullah saw: Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ .

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”.

Maka harapan kita ialah agar zikir ini diperkenal dan diajar secara bersungguh-sungguh kepada para jemaah haji, dengan bacaan, makna dan kelebihannya secara menyeluruh.

 

Waktu Paling Berharga

Waktu wukuf yang afdhalnya ialah bermula selepas solat zohor hari Arafah sehingga tenggelam matahari (maghrib), namun bagi mereka yang terlewat sampai ke Arafah masih boleh melakukan wukuf hingga terbit fajar (subuh) hari raya.

Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah saw selepas solat zohor terus berwukuf, duduk di atas untanya, mengadap ke arah kiblat mengangkat kedua tangannya berdoa dengan khusyuknya sehinggakan apabila terlepas tali kekangang unta daripada tangannya, Baginda mengambilnya dengan sebelah tangannya sahaja, dan tangan yang sebelah lagi terus diangkat berdoa.

Ini bermakna waktu afdhal untuk berdoa pada hari wukuf itu cuma lima jam setengah atau 330 minit sahaja. Tetapi malangnya masih terdapat jemaah haji kita yang tidak  mendapat kesedaran dan motivasi yang cukup tentang kelebihan dan fadhilat hari yang amat istimewa ini! Mereka masih sanggup melalui saat yang bertuah ini dengan hanya berbual-bual kosong, tidur, bahkan ada yang masih tergamak merokok, orang lain mencari haji mabrur, dia pula membuat haji malboro! Semoga Allah kurniakan kita dengan haji mabrur.

Insya’Allah kita akan bertemu lagi dalam siri ke 2 nanti…

Siri 2: Catatan Siri 2

Siri 3: Catatan Siri 3

 

Ke Muzdalifah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *