Apa itu Imsakiah Ramadhan

Ramai yang bertanya tentang IMSAK?

Kenapa bila datang bulan Ramadhan akan keluarlah Taqwim Khas yang ada Imsak. Semua pakat berlumba menyebarkannya, YB, syarikat-syarikat besar, peniaga kecil bahkan orang perseorangan. Masing-masing menggunakannya untuk iklan mereka.

Soalnya perlukah kepada imsakiah ini?

Jawabnya tak perlu. Sebenarnya sudah cukup dengan taqwim yang ada di rumah masing-masing tu, ada yang dibeli dan ada yang diberi percuma.

Malangnya dengan taqwim yang banyak, waktu solat dah ada, tapi masih ramai lagi umat Islam di negara ini tak sampai-sampai juga ke Masjid, rumah Allah. Walaupun mereka dipanggil pula dengan nama Allah dan nama Nabi Muhammad saw tetap tidak menyahutnya, tapi bila dibawa air rambut Nabi (kononnya) ramai yang pakat berebut nak beli.

Apakah Hukum Imsak ini?

Jawabnya secara baik dan sederhana ialah: Imsak bermakna menahan diri dari makan dan minum. Masa yang diambil ialah 10 minit sebelum masuk waktu subuh dan masih boleh makan. Tujuannya ialah agar orang sedang makan boleh habiskan makan dengan segera, atau orang yang belum makan segeralah berbuat demikian, yang lekat boleh minum air.

Ibaratnya yang simple: Waktu Imsak ialah seperti LAMPU KUNING di lampu isyarat (traffic light), boleh jalan tapi mesti berhati-hati dan bersedia untuk brek apabila dah masuk waktu Subuh.

Perhatian: Kepada para pencetak Taqwim Imsak sila letak penjelasan bahawa Imsak itu untuk berhati-hati sahaja dan masih boleh makan lagi sehingga subuh.

Ini adalah untuk mengelakkan timbulnya kekeliruan seperti sekarang.

Selamat Berpuasa & Beribadat.

Akhukum, Abu Anas Madani.
9 Ramadhan 1434H.