browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Ulama’: Peranan & Cabaran

Posted by on 5 April 2007

WAWANCARA:Ulama’, di antara peranan dan cabaran.             

Dewasa ini persolan mengenai peranan, tanggungjawab dan kewibawaan institusi ulama’ sering diperkatakan. Siapakah sebenarnya ulama’ yang dikatakan pewaris para nabi, apakah peranan mereka dalam masyarakat dan apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi mengangkat martabat ulama’?? Bagaimanakah para ulama’ menghadapi tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada mereka serta apakah cabaran-cabaran yang harus ditangani para ulama’ dalam menghadapi alaf baru?           

Bagi menjawab persoalan tersebut, ‘Suara Madinah’ (SM), majalah terbitan Perpustakaan Pelajar Malaysia Madinah, berkesempatan menemubual Ustaz Abdul Basit bin Abdul Rahman (AB), pelajar Sarjana Syariah, Universiti Islam Madinah, pada 27 September 1999 bersamaan 17 Jamadil-Thani 1420H.           

SM: Ramai yang kurang jelas mengenai  ungkapan Ulama’ Pewaris Nabi.Ada yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan ialah mereka yang dikurniakan Allah kelebihan dalam memahami ilmu-ilmu agama dan beramal dengannya serta menyebarkannya semata-mata kerana Allah tanpa berasa takut kepada sesiapa. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa ulama’ ialah mereka yang mahir atau ahli dalam sesuatu bidang sama ada bidang agama atau pun lain-lain bidang. Jadi, bolehkah ustaz jelaskan siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ulama’  pewaris nabi.

AB: Untuk menjelaskan ta’rif ulama’, eloklah kita lihat hadis yang disebutkan Ulama’ Pewaris Nabi, hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ad-Darda’ -radhiallahu anhu- lafaznya:          (( من سلك طريقاً يطلب فيه علماً، سلك الله به طريقاً من طرق الجنة، وإن الملائكة لتضع أجنحتها رضاً لطالب العلم، وإن العالم ليستغفر له مَن في السماوات ومن في الأرض، والحيتان في جوف الماء، وإن فضل العالم على العابد كفضل القمر ليلة البدر على سائر الكواكب، وإن العلماء ورثة الأنبياء، وإن الأنبياء لم يورثوا ديناراً ولا درهماً، ورثوا العلم فمن أخذه أخذ بحظ وافر )). [أخرجه أحمد 5/196، وأبو داود 3641، والترمذي 2682،وغيرهم. وهو حديث صحيح. انظر: صحيح سنن أبي داود رقم 3096].Maksudnya: “Sesiapa yang melalui jalan untuk menuntut ilmu, Allah SWT akan membuka kepadanya salah satu jalan yang menuju ke syurga, para Malaikat merendahkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang alim itu, diminta keampunan baginya oleh mereka yang berada di langit dan di bumi, juga oleh ikan di dalam air. Kelebihan orang alim ke atas orang abid (ahli ibadat yang tidak berilmu) seperti kelebihan bulan purnama ke atas segala bintang, dan sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris nabi-nabi, (kerana) mereka tidak meninggalkan (pusaka) dinar dan dirham (harta), sebaliknya mempusakakan ilmu, sesiapa yang (dapat) mengambilnya, dia telah mengambil bahagian yang besar”.           

Maka jelas dari hadis di atas yang dimaksudkan dengan ulama’ di sini ialah ulama’ Syariah, yang beramal dengan ilmunya, kerana Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hambanya untuk diamalkan, bukan hanya sebagai satu teori untuk dipelajari atau dikaji semata-mata, tetapi kedua-duanya mesti selaras. 

SM: Mengikut ta’rifan yang dikemukakan oleh ustaz, jelas menunjukkan  bahawa ulama’ menanggung amanah yang besar terhadap kefahaman dan  kepakaran ilmu agama yang mereka miliki. Sehubungan itu, apakah tanggungjawab mereka terhadap persekitaran mereka – masyarakat , bangsa dan negara mereka? 

AB: Memang ulama’ menanggung amanah besar yang dipikulkan keatas mereka, ulama’ wajib menyampaikan kebenaran berdasarkan ilmu yang mereka miliki, menjalankan tugas ‘Al-amru bil ma’ruf wa Al-nahyu ‘anil munkar’, kerana ini adalah  diantara ciri umat ini menjadi umat terbaik sebagaimana firman Allah SWT :-{ كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله …} آل عمران 110Maksudnya: {Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. …}. [Aal-Imran: 110].           

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :(( من سئل عن علم فكتمه، أَلجمه الله بلجام من نار، يوم القيامة)) [أخرجه أحمد 2/263، وأبو داود 3658، والترمذي 2649. (حسن صحيح) انظر: صحيح سنن أبي داود 3106].Maksudnya: “Sesiapa yang ditanya mengenai sesuatu ilmu (yang ia miliki) maka disembunyikannya, nanti Allah SWT akan mengekangnya dengan kekangan daripada api neraka pada hari Qiamat kelak”. Mereka adalah pembimbing kepada masyarakat dan penasihat kepada pemerintah, sekiranya mereka tidak menjalankan tugas tersebut maka siapa lagi yang diharapkan dapat melakukannya. Kerana kelesuan atau kebisuan ulama’lah yang  menyebabbkan banyaknya berlaku kerosakan masyarakat dan juga pemerintah.Yang lebih dahsyat lagi apabila mereka bukan setakat bisu untuk menyampaikan kebenaran tetapi sebaliknya menjadi pengampu yang mengiakan semua perkara yang dibuat oleh pemerintah termasuk perkara maksiat yang terang dan nyata bercanggah dengan hukum Islam, semata-mata untuk menjaga kedudukan dan pangkat yang diberikan, sudahlah mereka sendiri sesat, menyesatkan orang lain pula.Untuk peringatan, dibawa satu hadis yang selalu dibaca apabila membincangkan bab ini iaitu sabda Rasulullah SAW: ((صنفان من أمتي إذا صلَحا صلح الناس: الأمراء والفقهاء. وفي رواية: والعلماء )). Maksudnya: “Dua golongan umatku, apabila baik keduanya maka baiklah seluruh manusia; iaitu golongan Umara’ (pemerintah) dan Fuqaha’ atau Ulama’}. Mungkin dari segi maknanya betul tetapi dari segi sanadnya adalah “Maudhu’“. Lihat Al-Silsilah Al-Dhaifah 1/70 No. 16. Dhaif Al-Jami’ Al-Shaghir ms 511 No. 3495.Yang paling penting sekali ulama’ itu sendiri harus menjadi Qudwatun Hasanah iaitu contoh yang baik bagi orang lain, yakni tidak sekadar menyeru atau mengajak orang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan sedangkan dia sendiri atau ahli keluarga yang dibawah tanggungjawabnya terbukti tidak mengamalkan apa yang diajar dan dituntut Syariah.

SM: Hari ini ada kalangan yang mentohmah ulama’ dengan pelbagai tohmahan yang memperlekeh kewibawaan ulama’. Suara-suara mengatakan ulama’ tidak layak menjadi pentadbir dan pemerintah, ulama’ tak sepatutnya berpolitik dan ulama’ menggunakan agama untuk kepentingan diri dan politik, sering kita dengar daripada pihak yang cuba untuk mengenepikan peranan ulama’ dalam masyarakat. Persoalannya apakah sebab dan punca tohmahan-tohmahan ini timbul dan bagaimanakah cara untuk ulama’ menghadapinya?           

AB: Kalau kita melihat sejarah, tuduhan yang dilemparkan kepada ulama’ bukan perkara baru, ini adalah kesinambungan dari kerja-kerja yang dilakukan oleh orang dahulu, tidak ada seorang nabi kecuali mereka akan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan, bahkan Rasulullah SAW telah dituduh sebagai tukang sihir, penyair, gila dan sebagainya.           

Oleh kerana Nabi sudah tiada maka tuduhan itu dilemparkan kepada ulama’ yang  menyambung tugas nabi, sesuai dengan taraf yang dimiliki oleh seorang ulama’ itu sebagai pewaris nabi.           

Tujuan tohmahan atau tuduhan ini ialah untuk menjauhkan masyarakat daripada ulama’. Ini kerana sebagaimana yang diketahui, masyarakat masih memandang tinggi dan menghormati alim ulama’, tetapi yang takut dengan ulama’ ialah mereka yang sayang kepada maksiat dan kemungkaran. Kerana takutkan nanti apabila masyarakat menyedari kemungkaran yang mereka lakukan, akan hilang kepercayaan kepada mereka dan seterusnya pangkat yang mereka miliki juga akan tercabut. Kesimpulannya perkara ini timbul kerana “Hubbu Al-Dunya wa Al-Jah”.           

Para ulama’ pula mesti bersabar menyampaikan kebenaran walau apapun yang terjadi, terus berdakwah dan menjelaskan kekeliruan yang timbul atau tohmahan yang dilemparkan dengan penuh hikmah iaitu ‘Mau’izah Al-Hasanah’. Kerana sudah menjadi sunnatulLah setiap pendakwah yang ingin menegakkan kebenaran akan terkena ujian mungkin untuk memantapkan lagi istiqamah seseorang itu. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita serta meneguhkan istiqamah dan komitmen kita kepada Islam.            
SM:  Adakah masyarakat terkesan dengan tohmahan-tohmahan itu?            

AB: Setiap perkara yang ditimbulkan tentulah ada kesannya, sedikit atau banyak, lebih-lebih lagi kepada mereka yang ‘jauh’ daripada masjid, surau atau majlis-majlis ilmu yang dipanggil kuliah, ceramah…           

Kalaupun mereka tidak menerimanya seratus peratus, atau susah untuk mempercayainya tapi kekeliruan tetap timbul, mana satukah yang betul, atau benar? Untuk mendapat penjelasan tentang isu yang ditimbulkan mereka tidak pula merujuk kepada sumber yang tepat, hanya melalui mass media arus perdana yang sememangnya menjadi alat propaganda pihak tertentu.           

SM: Bagi mengembalikan kegemilangan dan mengangkat martabat institusi ulama’, apakah usaha-usaha yang sepatutnya dijalankan oleh ulama’ sendiri, masyarakat dan pihak pemerintah?           

AB: Untuk mengembalikan kegemilangan institusi ulama’ yang semakin pudar sekarang ialah dengan Kesatuan Ulama’, ulama’ mesti bersatu dalam semua perkara, berdasarkan Al-Quran dan Hadis, jauh dari hawa nafsu dan kepentingan diri. Apabila timbul sesuatu isu maka seluruh ulama’ mesti bermuzakarah mencari kata sepakat, tidak sebagaimana sekarang, kalau ada ulama’ mengeluarkan pendapat tentang sesuatu perkara hari ini, esok akan ada pula yang mengeluarkan pendapat yang bertentangan, kadang-kadang perkara itu jelas bercanggah dengan Syariat Islam, contohnya ialah pengharaman ‘ratu cantik’ umpamanya, apabila ada ulama’ cuba bertegas menentang perbuatan tersebut, ada pula yang mengatakan; ‘tidak bijaksana’, tidak ada hikmah dan sebagainya.           

Ana teringat kepada peristiwa yang berlaku kepada ‘Izzuddin bin Abdul Salam (Al-‘Izz), yang digelar Sultan Ulama’ kerana ketegasan beliau mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan dasar kerajaan Mesir yang diperintah oleh Najmuddin Ayyub pada masa itu, sehinggakan Al-Izz dipecat dari jawatannya sebagai ‘Qadhi Al-Qudhah’ iaitu ketua hakim Negara Mesir. Keputusan hukum syara’ tersebut bukan sahaja ditolak dan ditentang bahkan Al-Izz diberi layanan kasar oleh Sultan Mesir itu. Memandangkan keadaan tersebut Al-Izz membuat keputusan meninggalkan negara yang enggan melaksanakan Syariah Allah itu. Setelah berita Al-Izz keluar dari Kaherah diketahui umum, rakyat dari segenap lapisan masyarakat; ulama’ dan semuanya, sehinggakan ahli sejarah mancatatkan penjual roti pun mengambil keputusan untuk bersama-sama Al-Izz keluar dari negeri tersebut, sebagai penentangan terhadap pemerintah yang enggan melaksanakan Syariah Allah. Sultan sendiri akhirnya terpaksa datang mengadap Al-Izz agar kembali semula ke Mesir dan terus bertugas seperti biasa, fatwa yang dikeluarkannya tadi dilaksanakan.Masalahnya sekarang ini, kalau seorang ulama’ itu di‘gam’ atau dipecat  kerana ketegasannya membela kebenaran, akan timbul sepuluh lagi yang mahukan jawatan yang kosong itu walaupun terpaksa mengorbankan perinsip dan kebenaran.Pihak masyarakat pula hendaklah sentiasa berdamping dengan ulama’, menimba ilmu dari mereka, sekiranya timbul sesuatu isu atau tuduhan, hendaklah terus bertemu atau menghadiri majlis penerangan dan penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku, bukan pergi mencari sumber maklumat lain yang tidak diketahui asas dan kebenarannya.Pemerintah pula hendaklah memberi kebebasan kepada ulama’ untuk menyampaikan nasihat, teguran dan kritikan yang membina, serta sentiasa meminta pandangan dan tunjuk ajar dari mereka tentang perkara yang menyentuh hukum Syariah, perkara halal haram, bukannya pandai-pandai membuat tafsiran sendiri, yang mengelirukan bahkan mungkin menyesatkan. Institusi ulama’ mesti diletakkan ditempat yang sepatutnya, bukan sekadar pembaca doa diakhir majlis, pemimpin majlis tahlil atau pembawa bendera dalam perarakan maulid sahaja.           

SM: Bagi menghadapi alaf baru, pastinya ulama’ tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran-cabaran yang harus ditangani. Bolahkah ustaz sebutkan cabaran-cabaran tersebut dan bagaimanakah seharusnya ulama’ menanganinya?           

AB: Cabaran untuk menghadapi alaf baru cukup banyak, para ulama’ mesti mempersiapkan diri dengan mengikuti perkembangan semasa, serta mengkaji dan memahami betul-betul sesuatu perkara yang baru timbul agar dapat menanganinya dengan baik dan dapat mengeluarkan fatwa atau pandangan yang selaras dengan zaman dan bertepatan dengan Syariah Islam, sebagaimana yang disebut sekarang dengan ‘Fiqh Al-Nawazil’.Contohnya ialah perkara-perkara yang baru dan tidak  tercatit dalam kitab-kitab yang ditulis dizaman dahulu, seperti masalah bayi tabung uji, klon, pemindahan anggota dan lain-lain. Dalam bidang muamalat pula timbul bermacam jenis perniagaan, saham, kad kredit dan lainnya. Dalam bidang aqidah dan pemikiran pula timbulnya mazhab dan fahaman baru seperti sekular, pragmatis, sosialis…dan sebagainya yang tidak ada perbincangannya dalam kitab aqidah dulu.           

Oleh kerana sudah tidak ada lagi mujtahid mutlak dizaman ini maka perlulah diadakan Itihad Jma’i, seperti ‘Majma’ al-Fiqhi’ yang ditubuhkan oleh OIC di Jeddah, juga di bawah ‘Rabithah ‘Alam Islami’ di Makkah yang dianggotai oleh para alim ulama’ yang dipilih dari seluruh dunia. Semoga keputusan yang diambil atau fatwa yang dikeluarkan lebih mantap dan dapat diterima oleh seluruh umat Islam.          

SM: Bagi mengakhiri temubual ini, apakah nasihat ustaz kepada mereka yang mendalami ilmu-ilmu agama dan bakal mewarisi tugas para nabi.   

AB: Jawapan kepada soalan ini menjadi tanggung jawab kita bersama, penyoal dan yang menjawab serta seluruh masyarakat pelajar ‘tolibul ‘ilmi’ dimana saja berada.                         

Yang pertamanya ialah: Ikhlaskan niat kepada Allah SWT, kita belajar ilmu agama ini kerana Allah SWT bukan untuk untuk mendapat pangkat dan kedudukan kerana sangat berat amaran RasululLah SAW kepada mereka yang belajar bukan kerana Allah SWT, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah  -ra- :(( من تعلم علماً مما يُبتغى به وجهُ الله، لا يتعلمه إلا ليصيب به عرضاً من الدنيا؛ لم يجد عَرْف الجنة يوم القيامة )). يعني ريحها- أخرجه أحمد وأبو داود 3664. (صحيح). صحيح سنن أبي داود 3112.Maksudnya: “Sesiapa belajar ilmu (asalnya) untuk menuntut keredhaan Allah SWT, tetapi kemudiannya (terpesong niat) ia belajar kerana ingin mendapat habuan dunia (dengan ilmu itu), ia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari Qiamat kelak”.           

Kedua: Hendaklah menumpukan sepenuh perhatian kepada mencari ilmu (Tahsil Al-Ilmi), gunakan sepenuhnya masa untuk belajar ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu samada secara nizami (formal) di dewan kuliah, atau melalui masyaikh (mengikut kuliah syaik-syaikh) di masjid atau di rumah mereka.            

Untuk tidak memanjangkan jawapan ini memadailah dengan wasiat yang disampaikan oleh guru kami Sheikh ‘Atiyyah Muhammad Salim -rahimahullah-, di dalam kisahnya, semoga kita semua mendapat ilmu yang berkat dan bermanafaat di dunia dan akhirat.وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، والسلام عليكم. 

Leave a Reply