browser icon
You are using an insecure version of your web browser. Please update your browser!
Using an outdated browser makes your computer unsafe. For a safer, faster, more enjoyable user experience, please update your browser today or try a newer browser.

Hukum Wudhuk Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

Posted by on 15 Januari 2011

Sebelum membincangkan hukum berkaitan stoma, ada baiknya kita mengenali apakah itu kolostomi dan stoma[1].
Kolostomi ialah satu lubang yang dibuat melalui proses pembedahan pada dinding abdomen yang mana sebahagian kecil daripada usus besar itu dibawa ke permukaan kulit. Lubang buatan yang baru ini, dipanggil sebagai stoma. Ia adalah bertujuan untuk memudahkan najis keluar, tanpa melalui tempat usus yang sakit atau rosak. (kerana tidak boleh dikeluarkan daripada saluran biasa). Kadang-kadang, lubang buatan ini dibuat pada saluran kencing, yang dipanggil urostomi. Dan pesakit yang dibuat stoma akan memakai beg kolostomi.

Terdapat dua fatwa yang dikeluarkan berhubung dengan hukum Menggunakan Beg Kolostomi.

Pertama: JKF Kebangsaan.
Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 – 8 September 2007 telah membincangkan Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu’ atau menunaikan solat.
Wudhu’ yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadah termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wudhu’ tersebut terbatal.

Keterangan/Hujah:
Istilah “Kolostomi” merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar (colon) di dalam abdomen yang dibuka dan pembukaannya itu disalurkan ke bahagian dinding abdomen dan dilekatkan pada kulit. Hujung usus ke bahagian dubur (rectum) tidak lagi berfungsi seperti biasa. Beg Kolostomi dipasang pada abdomen yang ditebuk di mana usus keluar daripada dinding abdomen tersebut. Pengeluaran najis tidak akan dapat dikawal samasekali oleh pesakit.

Kebanyakan pesakit kolostomi merasa was-was untuk menunaikan amalan fardu ain terutamanya solat. Persoalan yang ditimbulkan adalah bagaimana harus mereka mengurus kolostomi mereka semasa mengambil wudhu’ dan semasa menunaikan fardhu solat. Adakah mereka perlu mengosongkan pundi kolostomi mereka setiap kali mengambil wudhu’ atau untuk menunaikan solat. Adakah wudhu’ akan terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam pundi kolostomi.
Isu batal wudhu’ apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh para ulama’ adalah dalam konteks orang yang sihat. Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran.
Masalah kolostomi berbeza dengan masalah sulus al-bawl kerana kebersihannya lebih terjamin. Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh diqiaskan kepada mereka yang mengalami sulus al-bawl.

Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengalami masalah kolostomi tidak boleh dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan dharurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadah. Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadat.
Pesakit-pesakit kolostomi dibolehkan mengambil sekali wudhu’ untuk semua ibadah yang hendak dilaksanakan sekiranya wudhu’ tersebut tidak terbatal. Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wudhu’, ia adalah disunatkan.

Islam adalah agama yang memberi kemudahan. Oleh itu pesakit tidak wajar disyaratkan untuk mengosong atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwudhu’ kerana ia akan menyukarkan mereka melakukan ibadah.
[http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelaksanaan-ibadah-bagi-pesakit-yang-menggunakan-beg-kolostomi].

Kedua: Fatwa Kelantan:
Kaedah Melaksanakan Ibadat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi.
Ibadah
Huraian Tajuk/Isu:
Mesyuarat dimaklumkan bahawa terdapat pesakit terpaksa menggunakan beg kolostomi apabila saluran najisnya iaitu dubur tidak dapat digunakan untuk membuang najis. Dalam keadaan ini usus besar di dalam ebdomen pesakit ini akan dibuka dan disalurkan ke bahagian dinding ebdomen dan dilekatkan di kulitnya. Seterusnya najis akan keluar melalui jalan tersebut dan terisi masuk kedalam beg kolostomi tanpa boleh dikawal.
Bagi pesakit-pesakit yang terpaksa memakai beg kolostomi, kebanyakkan daripada mereka merasa was-was untuk menunaikan amalan fardu ain terutamanya solat kerana 2 sebab, iaitu ;-
1. Adakah wudu” mereka akan terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal kedalam beg kolostomi?.
2. Adakah mereka perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu” atau menunaikan solat?.
Keputusan:
Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah Ulama” bersetuju menfatwakan seperti berikut:
1. Pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi adalah termasuk di dalam golongan orang yang uzur syar”ie dan mereka tidak terikat dengan salah satu syarat yang membatalkan wudu” untuk menunaikan solat iaitu keluar sesuatu daripada 2 jalan iaitu qubul dan dubur seperti yang disyaratkan kepada orang yang sihat.
2. Oleh itu, wudu” mereka tidak terbatal walaupun najis keluar kedalam beg kolostomi mereka. Keadaan mereka dihukumkan sebagaimana hukum seseorang yang mengalami silsu baul (air kencing sentiasa menitik) dan wanita yang mengalami istihadhoh.
Dalam kedua-dua keadaan ini, telah disepakati oleh para fuqaha” bahawa tidak terbatal wudu” mereka walaupun najis telah keluar daripada 2 kemaluan mereka selepas mereka berwudu” untuk menunaikan solat.
3. Penggunaan beg kolostomi juga boleh dianggap sebagai usus mekanikal iaitu pengganti kepada usus yang asal dan ia merupakan sebahagian daripada perut. Oleh itu selagi mana najis belum terkeluar daripada beg kolostomi ini, najis itu dikira masih berada di dalam badan pesakit dan wudu” tidak akan terbatal dengan sebab keluar najis ke dalam beg tersebut.
4. Ketika hendak mengambil wudu”, pesakit-pesakit yang terpaksa menggunakan beg kolostomi ini tidak perlu mengosongkan beg kolostomi mereka setiap kali mengambil wudu” kerana keuzuran mereka kecuali perkara itu tidak menyusahkan pesakit berkenaan. Mereka dikehendaki mengambil wudu” apabila telah masuk waktu solat dan menyegerakan pelaksanaan solat sebaik sahaja berwudu”.
Status Penwartaan: Tidak Diwartakan.
[http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelaksanaan-ibadah-bagi-pesakit-yang-menggunakan-beg-kolostomi]

Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik Di Hospital-Hospital Kerajaan/Swasta
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 Sep 2000 telah membincangkan Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik Di Hospital-Hospital Kerajaan/Swasta. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum sembahyang jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus.
[http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/sembahyang-jamak-kerana-menjalani-rawatan-penyakit-penyakit-kronik-di-hospital-hosp].

Tambahan Huraian dari al-Fadhil Ust Tuan Safuan:
Inilah dua fatwa yang telah difatwakan di Malaysia yang saya tahu berhubung pemakaian beg kolostomi. Dan di sini, saya ingin berkongsi sebaghagian dalil dan hujah-hujah mereka pada pandangan saya.
Hujah-hujah
1- Yang membatalkan wudhuk ialah keluar sesuatu (apa sahaja) daripada dua jalan, iaitu qubul dan dubur. Namun dalam masalah ini najis yang keluar bukanlah daripada dua jalan tersebut. Kerana itu wudhuk mereka tidaklah terbatal.
قال الشافعي رحمه الله: وما كان سوى ذلك من قيء أو رعاف أو دم خرج من غير مخرج الحدث فلا وضوء في ذلك كما أنه لا وضوء في الجشأ المتغير ولا البصاق لخروجهما من غير مخرج الحدث. – [الحاوي الكبير للماوردي، ج 1، ص 199، ط 1، 1994م، دار الكتب العلمية، بيروت].
Berkata Imam Syafie: “…muntah, pendarahan hidung, darah yang keluar bukan daripada jalan hadas, maka tidak perlu berwudhuk…sebagaimana tidak batal wudhuk pada sendawa yang berubah dan juga pada air liur, kerana ia keluar bukan dari tempat keluar hadas (qubul dan dubur)”. Rujuk al-Hawil Kabir, karangan Imam Mawardi.
قال الماوردي: وهذا كما قال ما خرج من البدن من غير السبيلين لا ينقض الوضوء سواء كان طاهرا كالدموع والبصاق أو كان نجسا كالقيء ودم الحجامة والفصاد والرعاف، وإنما عليه غسل ما ظهر من النجاسة على بدنه، وبه قال من الصحابة عبد الله بن عمر وابن عباس، ومن التابعين ابن المسيب والقاسم بن محمد، ومن الفقهاء مالك وربيعة وأبو ثور. [الحاوي الكبير للماوردي، ج 1، ص 200، ط 1، 1994م، دار الكتب العلمية، بيروت].
Berkata Imam Mawardi: “…apa sahaja yang keluar bukan daripada dua jalan tidaklah membatalkan wudhuk, samada yang keluar itu suci seperti air mata dan air liur, atau najis seperti muntah, darah berbekam dan pendarahan hidung…Dan ini adalah pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, (sahabah), Ibn al-Musayyab, al-Qasim bin Muhammad (tabien), Imam Malik, Rabiah dan Abu Thaur.”
Dalam masalah adakah mereka menanggung najis, maka antara hujah yang membenarkan ialah:-
Aisyah r.a. menyatakan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy datang bertanya Nabi s.a.w.: “Wahai Rasulullah, saya seorang perempuan yang istihadhah (sentiasa keluar darah), kerana itu saya tidak suci, adakah saya boleh meninggalkan solat?” Jawab baginda: “Jangan…solatlah sekalipun darah itu menitis ke atas tikar”. Hadis riwayat Ahmad.
Jabir menyatakan bahawa dalam satu peperangan, seorang lelaki dipanah dan darahnya mengalir, namun dia masih meneruskan solatnya dengan rukuk dan bersujud. Hadis riwayat Bukhari “muallaq”.
Al-Hasan (Basri) menyatakan bahawa kaum muslimin sentiasa bersolat sekalipun dengan luka-luka mereka.
Dan sebagai peringatan, saya menyatakan janganlah sekali-kali kita meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Bahkan para pesakit lebih patut untuk tidak meninggalkan solat. Firman Allah SWT:
 فَلَولا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ 
“Tetapi mengapakah ketika datang kepada mereka seksaan kami, mereka tidak merendah diri (berdoa dan bertaubat memohon keampunan), bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan (memperdayakan mereka dengan) menampakkan indah (baik) apa yang mereka lakukan”. Surah al-An’am: 43
Dan semoga kita semua terselamat daripada penyakit yang membahayakan. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa ini supaya kita terselamat daripada bahaya penyakit tersebut.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي وَمَا ابْتَلانِي وَفَضَّلَنِي عَلَى كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِهِ تَفْضِيلا
“Segala puji bagi Allah SWT yang memberikanku keafiatan, dan Dia tidak mengujiku (dengan bala ini), dan Dia mengurniakan kepadaku pelbagai kurniaan mengatasi ramai di kalangan makluk-makhlukNya”.
[1] A colostomy is a surgically created opening in the abdomen through which a small portion of the colon is brought up to the surface of the skin. This new opening, called a stoma, allows stool to pass directly out of the body, bypassing a diseased or damaged section of the colon. …A stoma is an artificial opening to or from the intestine (which is also known as the gut or bowel) on the abdominal wall usually created by a surgeon. Occasionally, it is an artificial opening in the urinary tract, called a urostomy. (rujuk www.stomacare.org.my)

[ Lihat: http://tasekpauh.blogspot.com/2010/03/hukum-wudhuk-dan-solat-bagi-pesakit.html ]
[ http://aburedza.wordpress.com/2010/12/07/hukum-wudhuk-dan-solat-bagi-pesakit-yang-menggunakan-beg-kolostomi/ ]
Ulasan Abu Anas sebelum ini:[ http://www.abuanasmadani.com/?p=43 ]

Leave a Reply